Kurangkan stres otak adalah salah satu kelebihan mengait

Kesejahteraan Mental Md Wa'iz
Md Wa'iz
Kurangkan stres otak adalah salah satu kelebihan mengait
Kurangkan stres otak adalah salah satu kelebihan mengait © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Mungkin sudah ramai daripada kita yang tidak lagi berkemahiran dalam mengait. Satu ketika dahulu, banyak produk dihasilkan daripada aktiviti mengait seperti alas meja, sarung bantal, bahkan kasut untuk kaki bayi.

Tahukah anda, aktiviti mengait ini sebenarnya mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Salah satunya ialah menghilangkan stres pada otak anda.

Mengait boleh bantu kurangkan stres yang dialami

Menurut Dr. Barry Jacobs dari Princeton University, pergerakan yang berulang dengan rentaknya yang tersendiri menjadikan aktiviti mengait itu satu perkara yang boleh menenangkan fikiran.

Menurut kajian beliau, haiwan yang melakukan aktiviti yang berulang akan memicu pelepasan serotonin. Serotonin ialah sejenis bahan kimia dalam tubuh yang membuatkan seseorang tersebut menjadi lebih tenang dan gembira.

Hal ini turut disokong oleh seorang ahli fisioterapi, Betsan Corkhill. Menurut Betsam, beliau dapat melihat perubahan yang signifikan dalam kalangan pesakitnya yang melakukan aktiviti mengait. Aktiviti mengait dilihat mampu memberikan ketenangan kepada mereka yang sedang tertekan dan kemurungan.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh membantu mengawal keresahan

Selain daripada itu, antara kelebihan lain aktiviti mengait ialah ia dapat membantu mengurangkan keresahan yang dialami oleh seseorang. Dalam satu tinjauan, didapati terdapat perkaitan atau hubungan yang kuat antara aktiviti mengait dengan kewujudan rasa tenang dan gembira.

Kajian juga telah menunjukkan bahawa mengait boleh membantu mengurangkan gangguan keresahan, selain memberikan ketenangan daripada berifkir secara melampau.

Buatkan anda lebih gembira

Ada satu kajian telah menjelaskan bahawa, mereka yang mengalami kemurungan sebenarnya mengalami kekurangan dopamin.

Dopamin adalah sejenis bahan kimia dalam tubuh yang berfungsi menghantar mesej antara sel saraf. Ia memainkan peranan berkenaan bagaimana kita berasa seronok yang menyebabkan kita melakukan sesuatu aktiviti tersebut.

Melalui aktiviti mengait, ia sebanarnya boleh merangsang tubuh badan kita untuk menghasilkan lebih banyak dopamin. Kajian menyatakan, 81% daripada 3,500 orang pengait yang mempunyai kemurungan berasa lebih gembira apabila mereka mengait.

Lambatkan masalah kehilangan memori

Seiring dengan peningkatan usia, seseorang individu tersebut akan lebih berisiko untuk mengalami masalah penyusutan fungsi otak. Ini termasuklah kekuatan memori.

Namun, aktiviti mengait boleh membantu melambatkan masalah ini daripada berlaku dengan cepat. Kajian mendapati, mereka yang rajin membaca, bermain permainan atau melakukan hobi seperti mengait pada umur pertengahan, mempunyai 40% pengurangan risiko kehilangan memori.

Malah, apabila umur mereka semakin lanjut, risiko untuk kehilangan memori akan berkurangan sebanyak 30% hingga 50%.

Mengait tenangkan fikiran

Kesemua kelebihan mengait yang dinyatakan ini berkaitan dengan kesihatan mental kita. Bukan sahaja boleh mengurangkan kadar stres, tetapi juga mengelakkan masalah penyusutan memori, mengawal keresahan dan menjadikan anda lebih gembira.

Kemahiran mengait tidak lagi senang untuk dilihat pada masa kini, tetapi anda mungkin boleh mempelajarinya semula daripada mereka yang berkemahiran.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.