Lahirkan lebih ramai hafizah Al-Quran

Sahsiah Hanita Hassan 09-Jun-2020
Bakal-bakal hafizah, masya-Allah © Suryo | Dreamstime.com

Ramai dalam kalangan ibu bapa Muslim hari ini sudah mulai sedar akan manfaat pembelajaran Al-Quran dan ilmu agama.  Ia berupaya membentuk personaliti diri anak-anak ke arah celik agama dan Al-Quran, terutama dalam mendepani cabaran dunia era moden.

Hari ini, anak-anak perempuan juga semakin ramai yang boleh menghafaz Al-Quran.  Malah, ada pusat tahfiz yang membuka penyertaan khusus untuk anak-anak perempuan supaya tidak bercampur dengan lelaki.

Ada banyak keistimewaan yang dimiliki oleh anak perempuan. Seorang anak perempuan yang masih kecil boleh menjadi penyelamat ibu bapa di akhirat kelak. Ketika anak perempuan sudah berkahwin dan menjadi ibu, maka syurga di bawah telapak kakinya.

Justeru, kita tidak boleh meremehkan anak perempuan dalam hal pendidikan. Meskipun Nabi SAW mengatakan bahawa ramai penduduk neraka terdiri daripada perempuan, namun itu bukan penyebab untuk kita tidak berusaha mendidik anak-anak perempuan menjadi anak solehah sesuai syariat agama.

Menjadi hafiz atau hafizah bukan kemuncaknya. Ia sekadar jalan untuk anak-anak meneruskan kehidupan menjadi insan cemerlang terhadap Pencipta mahupun dengan sesama manusia.

Kita mahu melahirkan seorang doktor atau peguam atau jurutera, atau apa sahaja profesion sekalipun dengan Al-Quran mendiami dada serta menghiasi keperibadian mereka.   Kita sedar generasi muda hari ini terdedah dengan budaya hedonisme iaitu gaya hidup yang mementingkan keseronokan.

Hedonisme menurut pengertian Kamus Dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Ia berkait juga dengan sikap suka berhibur, suka kepada hiburan sehingga melalaikan kita daripada tujuan utama diutuskan di atas muka bumi.

Ledakan globalisasi, pengaruh media massa dan juga media sosial amat besar ke atas generasi muda, khususnya golongan pelajar dan remaja.  Ia bukan sahaja dirasai oleh remaja di kawasan bandar, malah turut melibatkan golongan remaja di kawasan luar bandar.

Hal ini juga menyebabkan ramai ibu bapa mula beralih kepada pendidikan agama dan Al-Quran, untuk mendidik fikiran dan akidah anak-anak kepada Islam yang sebenar.  Seawal usia tujuh tahun, anak-anak dihantar ke pusat tahfiz atau sekolah berpendidikan agama.

Imam al-Ghazali berpesan: “Anak-anak adalah amanah ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya.

Sebaliknya, jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersia seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa. Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu.”

Ibn Khaldun juga berpesan: “Al-Quran adalah ilmu pertama yang patut dipelajari oleh anak-anak kerana mempelajari Al-Quran adalah satu syiar agama yang dipelopori oleh orang Islam dan diteruskan oleh semua orang Islam di negeri-negeri mereka.  Ini kerana Al-Quran menguatkan iman dan cara untuk mengasah kebolehan lain.”