Laksa Kuah Putih Terengganu

Masyarakat 15 Nov 2020 Hanita Hassan
havehalalwilltravel.com-Laksa-kuah-putih
Laksa Kuah Putih © havehalalwilltravel.com

Laksa adalah makanan yang popular bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia dan Singapura.  Ia makanan yang mengenyangkan dan sesuai dimakan pada bila-bila masa sahaja mengikut selera dan keinginan anda. Jenis laksa pilihan dalam artikel ini adalah Laksa Kuah Putih Terengganu.

Di Malaysia ada pelbagai variasi laksa. Selain Laksa Kuah Putih, terdapat Laksa Johor, Laksa Sarawak, Laksa Kedah, Laksa Penang, Laksa Nyonya dan banyak lagi. Setiap satunya mempunyai rasa yang berbeza tetapi enak.

Laksa Kuah Putih Terengganu

Sekiranya anda penggemar laksa, sudah tentu anda pernah mencuba laksa kuah putih yang terkenal di Terengganu.  Bagi yang menggemari laksa kuah putih, dikongsikan cara memasaknya supaya anda boleh memasak hidangan ini sendiri di rumah.

Bahan yang diperlukan ialah sekilo ikan dari jenis selayang, sardin atau kembung mengikut cita rasa masing-masing. Direbus dan diambil isinya. Beberapa ulas bawang merah ditumbuk, seinci halia, setengah kilogram santan segar, satu sudu kecil lada hitam, 250 mililiter air, dua keping asam keping, sesudu gula, garam secukupnya dan kiub ikan bilis.

Bahan yang telah ditumbuk iaitu bawang merah dan halia dimasukkan ke dalam periuk bersama isi ikan, lada hitam dan santan. Masukkan air dan asam keping.  Kacau sentiasa sehingga kuah mendidih.  Masukkan garam dan gula secukup rasa dan siap untuk dihidangkan.

Bagi bahan-bahan ulaman, anda boleh menggunakan daun kesum, timun, kacang panjang, bunga kantan dan taugeh. Untuk sambal cili, gunakan satu atau dua biji cili merah dan sedikit belacan.

Anda juga boleh menambah cili padi sekiranya mahu lebih pedas. Tumbuk cili, belacan dan garam sehingga lumat dan boleh dihidang bersama laksa.

Tuntutan memilih makanan berkonsep halal dan baik

Makanan yang dimasak sendiri bukan sahaja lebih bersih tetapi juga dijamin halalnya. Anda juga boleh memilih bahan yang terbaik, segar dan tahu dari mana puncanya.

Allah SWT menurunkan pelbagai perintah dan larangan untuk menjaga maslahah.  Antaranya tuntutan memilih makanan yang menepati konsep halal dan baik atau ‘halalan tayyiban’.  Allah SWT juga telah menyebut banyak dalam al-Quran tentang memilih yang halal dan baik.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.”

(Surah al-Baqarah, ayat 168)

Hikmah pengambilan makanan halalan tayyiban ialah ia memberi ketenteraman kepada jiwa sesuai dengan fitrah manusia. Makanan yang haram dan syubahah akan menjadikan jiwa tidak tenteram, resah dan gelisah kerana bertentangan dengan fitrah.

Makanan halal boleh juga mendekatkan diri dengan Allah SWT. Pengambilan makanan halal juga boleh menyelamatkan anda daripada seksaan api neraka. Ia bertepatan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Tidak tumbuh daging daripada yang haram, melainkan api neraka lebih utama baginya.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Ia juga membentuk darah daging yang baik dan membantu melahirkan insan yang bersahsiah terpuji di samping menghindarkan daripada penyakit. Ibadah dan amal anda juga diterima dan doa mudah dimakbulkan.