Laksa mi ‘signature’ unik Pulau Pangkor

Selera Adea Ghafar 27-Jan-2020
Pulau Pangkor
Pulau Pangkor © Ravindran John Smith | Dreamstime.com

Pulau Pangkor memang terkenal dengan keindahan semulajadi pantainya. Ia juga mempunyai peninggalan sejarah seperti Kota Belanda di Teluk Gedung. Kini bertaraf sebuah pulau bebas cukai, kunjungan ke Pulau Pangkor seakan tidak lengkap jika tidak menikmati hidangan ‘signature’ khusus Pulau Pangkor yang unik dan lazat iaitu Laksa Mi Pangkor. Laksa mi adalah menu sarapan wajib penduduk tempatan dan bagi pelancong, mereka juga suka mencubanya apabila disarankan penduduk.

Dijual di gerai Mak Uda, Teluk Gedung, laksa mi Pangkor menggunakan mi khas berwarna putih. Ia dihidang dengan sup sotong, udang, ketam atau ikan yang jernih beserta sambal. Sayur tumisnya adalah kacang panjang dan lobak sebagai pelengkap. Noraimi Hashim, 48, berkata beliau menyambung perniagaan laksa mi warisan ibu saudaranya yang telah diusahakan sejak 30 tahun lalu.

Menurut Noraimi, penyediaan laksa mi ini adalah sangat mudah berbanding penyediaan laksa-laksa lain. Mi laksa yang kering perlu direndam seawal pukul 4.30 pagi sebelum merebusnya selama 40 minit sehingga lembut. Kemudian, ia ditos beberapa kali untuk menghilangkan rasa kapur pada mi. Laksa mi ini dijual dalam paket 250 gram setiap satu dan setiap hari 15 paket digunakan terutamanya pada hujung minggu.

Mengenai sup hidangan, Noraimi lebih gemar menggunakan udang kerana rasanya yang manis selain turut menyediakan kuah laksa biasa sebagai pilihan. Jualan bermula pada 7 pagi hingga 12 tengah hari. Noraimi menambah, ikan, ketam atau udang hanya direbus dengan asam keping beserta garam. Keistimewaan rasa yang berbeza pada laksa mi adalah sambal yang ditumis darat selain sayur tumis pedas yang mengikut citarasa masing-masing.

Hanya gerai Mak Uda yang menghidangkan laksa mi Pangkor ini dengan telur rebus separuh masak, dan dijual dengan harga RM3 sepinggan. Sementara itu, Normala Shamsuddin, 36, berkata laksa mi menjadi pilihan setiap kali sarapan bersama keluarganya. Menurutnya, laksa mi juga adalah hidangan wajib sewaktu hari raya di Pulau Pangkor.