Lakukan Tabayyun akan berita palsu

Islam untuk Pemula 02 Apr 2021 Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Lakukan Tabayyun akan berita palsu
Lakukan Tabayyun akan berita palsu © Tetiana Kalian | Dreamstime.com

Fitnah akhir zaman adalah ujian-ujian besar yang berlaku yang sukar dikawal.  Apatah lagi dengan capaian internet yang meluas, maklumat palsu disebar luas hanya di hujung jari, sehingga tular dan mengaibkan.

Ia juga boleh melenyapkan sesuatu bangsa dan negara.

Lakukan Tabayyun akan berita palsu

Fitnah dilakukan tanpa rasa bersalah meskipun sedar hukuman Allah Taala lebih besar daripada dosa membunuh sepertimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 217.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Bergegaslah melakukan amal soleh sebelum datang fitnah seperti malam yang gelap gelita.”

(Hadis riwayat Muslim)

Kita diuji dengan sesuatu yang tidak jelas, gelap gelita.  Kita keliru dan kabur mana yang benar dan yang salah. Allah SWT memerintahkan supaya kita menyelidik kebenaran sesuatu berita yang disampaikan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sepertimana firman Allah Taala dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

(Surah al-Hujurat, ayat 6)

Ibnu Kathir berkata:

“Allah perintahkan supaya kita thabitkan dahulu perkhabaran orang fasiq sebagai ihtiyat. Ia kerana supaya seseorang tidak berhukum dengan ucapannya menyebabkan dalam keadaan begitu boleh membawa kepada dusta atau tersilap.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/370)

Memeriksa dengan teliti dan tidak tergesa-gesa

Tabayyun berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud ‘menthabitkan’ dan ‘menyemak asas kebenarannya’. Menurut Imam al-Syaukani:

“Tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan ‘tatsabbut’ adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)

Jika kita imbas sejarah Islam, tiga khalifah terkorban akibat fitnah.  Khalifah Umar al Khattab r.a, Khalifah Uthman al-Affan r.a dan Khalifah Ali Abi Talib r.a. Begitu juga para pemimpin Islam lain.

Kebelakangan ini berita palsu yang berunsur fitnah semakin ketara. Ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan pemimpin politik, ahli korporat dan juga artis tetapi kepada masyarakat biasa.

Umat Islam seharusnya sedar akan hakikat dosa memfitnah. Jangan sekali-kali mendekatinya dengan sengaja melakukan propaganda dalam pelbagai isu.  Anda perlu memperkuatkan iman dan menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai penyuluh jalan kebenaran.

Kehidupan ini singkat dan yang abadi adalah hari akhirat.  Betapa kuat pun kita waktu ini, kita juga akan bertemu Rabbul Jalil. Justeru, peliharalah hati supaya sentiasa melaksana ketaatan dan beragama kerana sesungguhnya hidayah itu adalah milik Allah Taala jua.

Marilah kita berdoa semoga Allah SWT mengampuni kita. Agar Allah kurniakan afiat dalam setiap urusan agama dan dunia, pelihara keluarga dan harta, menutup aib dan aurat kita, amankan perasaan takut dan pelihara masa hadapan kita.