Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Lakukan Tabayyun bila terima berita – elak sebar fitnah dan berita palsu

Teknologi 16 Jan 2021
Terkini oleh Md Wa'iz
Lakukan Tabayyun bila terima berita - elak sebar fitnah dan berita palsu
Lakukan Tabayyun bila terima berita - elak sebar fitnah dan berita palsu © Rido | Dreamstime.com

Salah satu cara yang paling ampuh bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau fitnah adalah melalui tabayyun.

Apakah yang dimaksudkan dengan tabayyun?

Maksud dan tujuan tabayyun

Perkataan ‘tabayyun’ adalah satu kalimah bahasa Arab yang bermaksud ‘menyelidik atau menyemak asas kebenarannya’. Dalam Islam, kita diajar untuk menyemak, menyiasat atau meneliti terlebih dahulu sebarang berita atau maklumat yang diterima.

Kita tidak boleh menerima sebarang berita dan maklumat ini secara membuta tuli sahaja, tidak kiralah siapa pun yang menyampaikannya. Jadi apakah tujuan melakukan tabayyun ini?

Antara tujuan tabayyun adalah untuk mengelakkan sebarang penyebaran fitnah, maklumat palsu atau tidak benar dan sebarang niat yang tidak elok melalui penyebaran maklumat tersebut.

Dalil terhadap pentingnya tabayyun

Konsep tabayyun ini dikuatkan dengan satu firman Allah SWT yang bermaksud seperti seperti berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Al-Quran, Surah al-Hujuraat, ayat 6)

Dalam ayat ini, Allah Taala menjelaskan kepada kita untuk menyelidik terlebih dahulu sebarang maklumat dan juga berita yang diterima. Ini adalah untuk memastikan kebenaran sebarang maklumat yang sampai ke telinga kita.

Selain itu, tujuan menyemak kesahihan berita ini juga adalah untuk mengelakkan sebarang masalah atau bencana kepada orang lain akibat daripada berita yang disebarkan itu.

Sebab penurunan ayat al-Quran mengenai tabayyun

Dalam kitab Tafsir Al-Qurtubi, ada pendapat yang menyatakan sebab penurunan ayat ini adalah disebabkan kisah yang berkaitan dengan Al-Walid bin Aqabah bin Abi Mu’it. Pada satu hari, Rasulullah SAW telah mengutuskan Al-Walid bin Aqabah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq.

Ketika mana orang-orang Bani Mustaliq ini melihat Al-Walid, mereka berhadapan dengannya sehingga menimbulkan rasa takut kepada Al-Walid. Ada riwayat yang menyatakan bahawa ia disebabkan oleh kedengkian yang pernah berlaku antara Al-Walid dan Bani Mustaliq.

Al-Walid kemudiannya pulang semula kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa Bani Mustaliq telah keluar atau murtad daripada agama Islam. Rasulullah kemudiannya mengutuskan Khalid Al-Walid untuk pergi semula ke Bani Mustaliq dan melakukan siasatan mengenai dakwaan Al-Walid tersebut.

Khalid Al-Walid kemudiannya mengutuskan mata-matanya untuk melihat dan memantau keadaan Bani Mustaliq. Mata-mata Khalid Al-Walid ini kemudiannya menyatakan bahawa orang-orang Bani Mustaliq ini masih lagi Islam. Ini kerana mata-mata ini ada mendengar suara azan dan melihat mereka bersolat.

Keesokan harinya, Khalid Al-Walid pergi melihat sendiri keadaan Bani Mustaliq dan ternyata serupa dengan apa yang disampaikan oleh mata-matanya. Hal ini kemudiannya disampaikan kembali kepada Rasulullah SAW. Maka Allah Taala menurunkan ayat ini.

Kepentingan tabayyun dalam konteks masa kini

Setiap hari kita menerima pelbagai maklumat dan info dari media-media sosial tanpa sebarang tapisan. Kadangkala kita sering ‘forward’ maklumat tersebut kepada orang lain tanpa menyemak terlebih dahulu.

Amalan seperti ini yang perlu dihentikan dengan segera untuk mengelakkan sebarang kesan buruk kepada pihak lain. Walaupun maklumat tersebut diterima daripada individu yang dikenali atau maklumat yang dilihat seperti islamik, ia mestilah diperiksa terlebih dahulu untuk memastikan kebenarannya.

Ingatlah, pemfitnah tidak akan mengaku bahawa dirinya ingin melakukan fitnah.