Laluan penuh ranjau bagi Sharmendran rangkul emas

Uncategorized Adea Ghafar 09-Dis-2019

MANILA, 9 Dis – Jaguh dunia Piala Dunia Karate 1 tahun 2014, R. Sharmendran, 27 tahun berjaya mempertahankan pingat emas acara karate kumite lelaki bawah 75 kilogram di Sukan SEA ke-30 hari ini apabila menang 3-0 dalam aksi final mengatasi peserta Thailand, Songvut Muntaen.

Selepas pembedahan lutut kanan pada Disember lalu dan menjalani proses pemulihan selama lapan bulan, Sharmendran berjaya mengatasi cabaran mental dan fizikal berbekalkan semangat juang yang kental.

Dengan melalui persediaan latihan selama empat bulan bersama jurulatih Andris Vasiljevs di Latvia dan Thailand dan hanya menyertai satu kejohanan, Sharmendran berjaya membuktikan kehebatannya dengan merangkul emas di Manila.