Langkah-Langkah Mandi Wajib Mengikut Cara Rasulullah S.A.W

Sahsiah Helmi Anuar 20-Jul-2019

Mandi junub atau mandi wajib adalah wajib untuk setiap umat Islam bagi menyucikan diri dari hadas besar selepas bersetubuh atau keluar air mani dari kemaluan, ataupun selepas habis haid. Tidak sah ibadah kita kepada Allah S.W.T jika dilakukan ketika tidak  suci dari hadas besar.

Berikut adalah langkah-langkah untuk mandi wajib mengikut kaedah Rasulullah S.A.W

  1. Niat ketika air sampai ke tubuh
  2. Membaca Bismillah
  3. Mencuci tangan sebanyak 3 kali -Al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah R.A meriwayatkan sebuah hadis mengenai cara Rasulullah S.A.W mandi dengan katanya yang bermaksud: Apabila Nabi SAW mandi daripada janabah, Baginda mulakan dengan membasuh kedua-dua tangannya.
  4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri – Menurut riwayat Muslim, kemudian Baginda mencurah air dengan tangan kanannya ke atas kirinya, lalu membasuh kemaluannya.
  5. Berwuduk ( Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat. Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
  6. Membasuh kepala ( Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu siram 3 kali dengan air)Dalam riwayat yang lain: Baginda membasuh kemaluannya dan kekotoran yang mengenainya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk sembahyang.Kemudian Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menyelati dengan pangkal-pangkal rambutnya.Kemudian baginda mencurahkan air di atas kepala sebanyak tiga cebok tangannya ke seluruh kulitnya.
  7. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh. (Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala) Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya: Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri.
  8. Meratakan air ke seluruh tubuh badan  Perempuan-perempuan yang mandi kerana haid, sunat menggunakan sedikit kasturi atau benda lain yang agak wangi untuk membasuh dan membersihkan kesan-kesan darah dan bau yang tidak menyenangkan dengan cara melerakkan wangi-wangian itu atas kapas dan dicalit ke bahagian yang terkena darah. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Ambillah sedikit kasturi kemudian bersihkan dengannya.

 

Peringatan 

  1. Sekiranya terdapat najis di anggota badan maka wajiblah dibasuh najis itu terlebih dahulu.
  2. Mandi junub boleh dirangkumi dengan mandi sunat sekali.
  3. Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.
  4. Setelah mandi hadas besar maka tidaklah lagi diwajibkan mengambil wuduk apabila hendak mengerjakan solat dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara membatalkan wuduk semasa mandi.

 

Sumber : akuislam.com

Foto: frank mckenna di Unsplash