Langkah tidak popular Kementerian Pengangkutan demi kesejahteraan rakyat

Uncategorized MAS 25-Dis-2019

Penambahbaikan ke atas perkhidmatan dan penyediaan sistem pengangkutan awam merupakan fokus utama Kementerian Pengangkutan. Selain itu, kementerian juga menumpukan terhadap aspek keselamatan jalan raya. Usaha penambahbaikan dan perubahan yang diperkenalkan sejak perubahan kerajaan adakalanya tidak popular. Namun kementerian bertekad untuk tidak berkompromi untuk terus mengukuhkan aspek keselamatan pengangkutan.

Menteri Pengangkutan memberikan contoh inisiatif pengenalan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS). Kementerian Pengangkutan teguh dengan pendirian untuk mewajibkan penggunaan CSR bermula Januari tahun depan. Ianya kekal meskipun menerima tentangan pelbagai pihak dan reaksi negatif yang tidak menyetujui undang-undang berkenaan.

Pengenalan tersebut amat penting untuk memberi kesedaran tentang kepentingan melindungi nyawa kanak-kanak. Ini memandangkan berlakunya kadar kematian yang tinggi melibatkan mereka akibat tidak menggunakan CRS. Kerajaan juga tidak bertujuan membebankan ibu bapa dan tindakan diambil merupakan langkah terbaik untuk jangka panjang. Meskipun penggunaan CRS itu diwajibkan bermula 1 Januari, tiada saman atau tindakan akan dikenakan untuk enam bulan pertama. Ia bertujuan untuk mendidik dan membiasakan rakyat dengan peraturan tersebut, tambah beliau.

Anthony Loke juga menegaskan undang-undang terdahulu juga dibantah penguatkuasaannya tetapi sudah menjadi norma ketika ini. Undang-undang pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar diwajibkan pada tahun 70-an. Beliau juga berpendapat CSR akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan penawaran tinggi. Perkara ini akan berlaku selepas undang-undang tersebut diwartakan.

Dalam perkembangan lain, untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam, pas perjalanan My100 telah diperkenalkan awal tahun ini. Pas tersebut memberikan akses tanpa had untuk perkhidmatan monorel, LRT, MRT, BRT laluan Sunway dan bas perantara MRT. Penggunaan meluas pas bulanan tersebut dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur. Pas untuk warga Malaysia dengan harga yang kompetitif itu merupakan inisiatif kerajaan yang dapat meringankan kos sara hidup.