Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – kedai gunting rambut dan optometri tidak lagi dibenarkan beroperasi

Dunia Hafiz Firdaus 13-Apr-2020
PKP dilanjutkan © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Perdana Menteri (PM) Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan bahawa salun rambut, tukang gunting rambut dan kedai optometri di Malaysia tidak lagi dibenarkan beroperasi semasa tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bazar jualan bulan Ramadan juga tidak dibenarkan beroperasi pada bulan puasa ini.

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan Malaysia menegaskan, kerajaan telah mendengar pandangan rakyat dan juga mendapatkan nasihat pakar dan pertubuhan bukan kerajaan mengenai perkara-perkara ini.

Perlaksanaan fasa pertama PKP untuk memecahkan rangkaian jangkitan COVID-19 yang dijadualkan berakhir pada 31 Mac, telah disambung ke 14 April. Jumaat lepas, PM berkata bahawa PKP akan dilanjutkan (selama 14 hari lagi) sehingga 28 April.

Sentimen semasa adalah kebimbangan jika perniagaan-perniagaan ini beroperasi, ia  boleh menghalang usaha-usaha penjarakan sosial untuk memerangi virus COVID-19. Oleh itu, perniagaan-perniagaan yang tidak menawarkan perkhidmatan penting telah dinasihatkan untuk menangguhkan semula operasi mereka dan harus kekal ditutup.

Orang ramai terus diminta untuk tinggal di rumah bagi meminimumkan hubungan, agar pihak berkuasa kesihatan dapat menumpukan usaha membendung penyebaran virus ini. Sementara itu, beberapa lokasi dengan jumlah kes positif COVID-19 yang besar telah turut dipertingkatkan dan diperketatkan PKP masing-masing.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut menyokong keputusan terbaru ini. Beliau berkata, perkara ini perlu ditangguhkan sekurang-kurangnya selama dua minggu. Penekanan turut diberikan kepada betapa pentingnya fasa ketiga PKP dalam perjuangan untuk memecahkan rangkaian jangkitan virus COVID-19.