Lantikan Hadi tepat: Hishammuddin-Hadi bincang perkembangan Timur Tengah

Dunia Adea Ghafar 22-Apr-2020
Hubungan Malaysia-Timur Tengah © Kevinbrine | Dreamstime.com

Di Wisma Putra, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Luar telah bertemu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah untuk meneliti perkembangan semasa di dunia Arab.

Hishammuddin berpendapat, pelantikan Abdul Hadi sebagai Duta Khas ke Timur Tengah adalah tepat pada waktunya untuk menjayakan pelbagai agenda khususnya berkaitan rantau tersebut. Antara tajuk perbincangan ialah tanggungjawab bagi memperkasa peranan Malaysia di Timur Tengah khususnya dalam perhubungan antarabangsa dan geopolitik yang tidak menentu, termasuk yang terkini berkenaan penularan COVID-19.

Sebagai mantan naib presiden Kesatuan Ulama Muslim Dunia, Abdul Hadi telah dilantik dengan pangkat menteri pada 2 April lepas. Berbekalkan pengalaman dan pengaruh beliau, lantikan ini akan menjadi aset penting Wisma Putra dan dapat menjalin dan memastikan hubungan diplomatik Malaysia dengan rakan negara di sana terus utuh dan berkekalan.

Sementara itu, Wisma Putra juga sedang giat membantu kepulangan rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara kerana sekatan perjalanan dan penutupan ruang udara oleh kerajaan negara masing-masing di mana mereka berada.

Hishammuddin juga menyatakan, Wisma Putra perlu menjayakan hasrat kerajaan untuk mengenal pasti negara-negara yang mempunyai penyelidikan saintifik dan pembangunan vaksin terbaik bagi memastikan Malaysia menjadi antara negara terawal memperoleh vaksin tersebut.