Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Larangan keras menipu dalam urusan jual beli atau perniagaan

Perniagaan 15 Jan 2021
Pendapat
Larangan keras menipu dalam urusan jual beli atau perniagaan
Larangan keras menipu dalam urusan jual beli atau perniagaan © Tinnakorn Jorruang | Dreamstime.com

Bagi seorang peniaga, pastinya pelbagai strategi digunakan untuk menarik lebih ramai pembeli membeli barangan jualannya. Namun, Islam menegaskan tentang larangan menipu dalam transaksi jual beli atau mana-mana perniagaan yang dijalankan.

Ini bertujuan melindungi hak pembeli selain memastikan penjual memperoleh hasil jualan yang halal.

Larangan Allah SWT dalam jual beli yang melibatkan penipuan

Kejujuran itu sememangnya merupakan satu nilai diri yang perlu diterapkan dalam apa jua aspek kehidupan. Namun, dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat khusus yang menekankan larangan menipu dalam soal jual beli atau perniagaan.

Allah Taala ada menyebut, mafhum-Nya:

“Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.”

(Al-Quran, surah ar-Rahman, ayat 5)

Allah SWT telah mensyariatkan untuk berlaku adil sesama manusia dan menegah manusia daripada melampaui batas. Kedua-dua hal ini perlu dilaksanakan dalam kehidupan.

Namun, lebih banyak ditegaskan dalam urusan jual beli atau perniagaan kerana ia banyak melibatkan urusan sesama manusia.

Jenis penipuan yang sering berlaku dalam masyarakat kita

Penipuan dalam perniagaan boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti

  • Mengurangkan sukatan atau timbangan tetapi dengan harga bayaran penuh
  • Mengenakan harga yang jauh lebih mahal daripada yang sepatutnya
  • Aktiviti menyorokkan barangan dengan tujuan menaikkan harganya
  • Promosi yang mengelirukan atau memperdayakan pelangggan
  • Menyorokkan maklumat sebenar mengenai barang jualan kepada pelanggan
  • Mencampurkan dua kualiti barangan seperti yang bermutu rendah dengan bermutu tinggi, tetapi menjualnya dengan harga yang mahal
  • Menerima bayaran barangan tetapi tidak menghantar barangan kepada pembeli

Menipu bukan amalan orang Islam

Islam sangat melarang perkara-perkara yang berkaitan dengan penipuan. Sehinggakan Allah SWT merakamkan dengan jelas mengenai kedudukan dan balasan untuk mereka yang menipu atau curang dalam melakukan sesuatu. Firman Allah yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan.”

(Al-Quran, Surah Al-Mutaffifin, ayat 1)

Allah Taala telah bersumpah bahawa kecelakaan akan menimpa golongan yang menipu dalam perniagaan yang dijalankan oleh mereka. Selain daripada amaran keras daripada Al-Quran ini, Nabi Muhammad juga ada menyatakan satu amaran bagi mereka yang gemar menipu dalam urusan jual beli perniagaan mereka.

Maksud hadis tersebut adalah seperti berikut, daripada Abi Hurairah bersabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang mengangkat senjata ke atas kami, bukanlah daripada golongan kami, dan sesiapa yang menipu kami, bukan daripada golongan kami.”

(Sahih Muslim)

Ahli fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa, maksud hadis ini bukanlah bermaksud secara literal iaitu keluar daripada Islam. Namun, frasa ‘bukan daripada golongan kami’ itu membawa maksud bukan menjadi amalan orang-orang Islam.

Kebaikan bagi mereka yang jujur dalam perniagaan

Banyak kelebihan bagi mereka yang berlaku jujur dalam perniagaan. Bukan sahaja mendapat keuntungan hasil jualan, tetapi juga akan mendapat lebih banyak kepercayaan daripada pelanggan.

Apabila ramai pelanggan mempercayai jual beli bersama penjual, mereka akan mengesyorkan perniagaan kepada orang lain pula. Dengan itu, perniagaan anda akan semakin terkenal dan pasti dikunjungi lebih ramai pelanggan.

Selain itu, hasil keuntungan daripada jualan tersebut juga pasti lebih berkat dan bebas daripada unsur-unsur yang mencurigakan. Dengan itu, harta yang diperoleh juga lebih suci dan bersih.