Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Larangan memanggil manusia dengan nama yang buruk, ini sebabnya

Masyarakat 04 Feb 2021
Terkini oleh Md Wa'iz
Larangan memanggil manusia dengan nama yang buruk, ini sebabnya
Larangan memanggil manusia dengan nama yang buruk, ini sebabnya © Milkos | Dreamstime.com

Tahukah anda, Islam melarang umatnya memanggil seseorang dengan nama panggilan yang buruk dan tidak disukainya. Walaupun ia sekadar panggilan, namun ia tetap satu larangan.

Dalam budaya kita, kita sering mempunyai nama pendek atau nama panggilan untuk seseorang individu. Sebagai contoh, kita memanggil seseorang dengan panggilan seperti Bob yang melambangkan seseorang yang berbadan besar.

Teguran daripada Allah SWT mengenai panggilan buruk

Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu mempunyai nama gelaran yang tersendiri. Nama panggilan yang diberikan mungkin berdasarkan faktor fizikalnya seperti gemuk, tinggi, rendah atau lain-lain lagi.

Namun, Allah Taala telah melarang sama sekali untuk kita memanggil orang lain dengan panggilan yang buruk. Apatah lagi jika panggilan itu sangat tidak disukainya.

Al-Quran ada menyebut dengan maksud seperti berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

(Al-Quran, surah al-Hujuraat, ayat 11)

Inti sari ayat surah Al-Hujuraat

Dalam ayat tersebut, Allah Taala ada menyatakan beberapa perkara penting yang perlu dilihat oleh orang Islam. Perkara-perkara tersebut ialah:

  • Orang lelaki dilarang mencemuh atau mengeji orang lelaki yang lain
  • Orang perempuan juga dilarang mencemuh atau mengeji orang perempuan yang lain
  • Larangan membuka keaiban pihak lain
  • Larangan memanggil orang lain dengan gelaran atau panggilan yang buruk

Allah SWT menyatakan, jika kita masih tetap melakukan keempat-empat larang ini, maka kita adalah golongan yang fasik. Gelaran fasik kepada mereka yang melakukan larangan ini ternyata amatlah buruk, apatah lagi bagi orang-orang yang beriman.

Allah Taala juga ada menyebut, sesiapa sahaja yang tidak bertaubat daripada kefasikannya, maka dia adalah orang-orang yang zalim.

Mengapa kita dilarang memanggil orang lain dengan panggilan buruk?

Ini kerana, budaya memanggil orang atau memberikan gelaran yang buruk kepada orang lain adalah salah satu budaya Jahiliyah. Kedatangan Islam telah menghapuskan budaya-budaya yang buruk seperti ini.

Selain itu, memanggil orang lain dengan gelaran yang buruk adalah salah satu daripada dosa-dosa besar. Panggilan dengan nama yang buruk juga boleh mengguris hati individu tersebut sekaligus mewujudkan keretakan hubungan antara manusia.

Perkara-perkara seperti ini hanya akan menyebabkan perpecahan dan pergaduhan antara sesama manusia. Jika kita tidak mahu dipanggil dengan gelaran yang buruk, maka berhentilah daripada menggelar orang lain.

Semua manusia tidak suka jika dipanggil dengan nama panggilan yang kurang sedap didengar. Hentikanlah budaya yang tidak sihat ini untuk menjaga hubungan sesama manusia.