Larian Untuk Bekalan Air Bersih

Suka Nor Syariza Tahir 25-Apr-2019

Mahukah anda menyertai acara larian sambil berhibur dengan pelbagai aktiviti bertemakan kebudayaan Korea?

Wang daripada yuran penyertaan anda itu pula akan menyumbang kepada bantuan bekalan air bersih untuk golongan yang kurang bernasib baik.

Itulah yang bakal menanti anda jika menyertai Coway Run 2019 yang akan berlangsung pada hari Ahad, 30 Jun ini bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bertemakan “Wind and Water, Back and Better”, acara larian yang telah memasuki tahun ketiga itu dianjurkan oleh syarikat penapis air terkemuka dari Korea, Coway.

Membawa kelainan pada tahun ini, acara tersebut akan mengetengahkan pelbagai aktiviti tradisional Korea yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Ia termasuklah aktiviti Fly High Shoes yang boleh disertai di Perkampungan Korea, dibina berdekatan dengan trek larian, selain aneka trak makanan yang mengambil bahagian.

“Kami tahu rakyat Malaysia amat gemar menikmati makanan Korea selain kebudayaan Korea itu sendiri yang sememangnya dekat dengan hati mereka.

“Justeru itu, kami tampilkan kelainan pada Coway Run tahun ini bagi memberikan pengalaman berlari sambil berhibur dengan pelbagai aktiviti istimewa untuk para peserta,” ujar Pengarah Urusan Coway Malaysia, Kyle Choi.

Pada acara larian itu juga, para peserta akan berlari sambil melalui laluan-laluan unik seperti terowong berkabus, yang pastinya memberi kesegaran menerusi percikan air sejurus mereka keluar dari laluan tersebut.

Dianjurkan bagi menggalakkan orang ramai untuk menjalani kehidupan semulajadi yang sihat, Coway Run 2019 juga merupakan salah satu cara syarikat penapis air itu memberi penghargaan kepada pelanggannya di Malaysia.

“Kami berasa gembira menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia dalam memberi inspirasi kepada mereka untuk bersama-sama mencapai matlamat meminum air bersih dan semulajadi.

“Ia dapat dilaksanakan, antaranya menerusi penganjuran acara larian seumpama ini, yang seterusya akan membawa kepada kehidupan yang lebih sihat dan semulajadi,” jelasnya.

Meskipun baru membuka penyertaan kepada orang ramai pada bulan Mac lepas, Coway Run 2019 telah menerima sambutan di luar jangkaan, iaitu melebihi 6,000 penyertaan setakat ini.

Peserta boleh memilih sama ada untuk menyertai larian bagi jarak 5 kilometer (km) atau 10km untuk lelaki atau wanita, untuk kategori Terbuka (berumur 16 dan ke atas), Antarabangsa (berumur 16 dan ke atas) serta Veteran (berumur 40 dan ke atas).

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 9 Jun 2019.

Maklumat lanjut mengenai Coway Run 2019 boleh didapatkan di http://cowayrun.com.my/, manakala bagi yang berminat, boleh mendaftar di https://www.eventbrite.sg/e/coway-run-2019-beat-the-heat-tickets-58193172345.

Sama seperti tahun lepas, setiap RM10 daripada yuran pendaftaran akan disumbangkan kepada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Coway iaitu Happy Water Project untuk membantu  golongan kurang bernasib baik dalam mendapatkan sumber air bersih.

Foto: Aiem Rahman & http://cowayrun.com.my/