Lashana Lynch Ganti Daniel Craig Sebagai Bond?

Peminat rangkaian filem James Bond pastinya memberikan respons tersendiri apabila membaca berita terbaharu mengenai pelakon wanita berkulit hitam, Lashana Lynch yang dikatakan bakal menggantikan watak Daniel Craig sebagai ejen 007.

Khabar angin yang semakin bertiup kencang itu adalah susulan daripada ‘persaraan’ Craig sebagai James Bond dalam filem akan datang, selain watak itu yang disahkan akan mempunyai pengganti baharu.

Jika berita tersebut menjadi kenyataan, ini bermakna selepas tamatnya filem Bond 25 yang akan menemui peminat pada tahun depan, ejen 007 akan digantikan dengan ejen wanita yang pertama!

Menurut sumber yang berkaitan dengan filem tersebut, besar kemungkinan Lynch akan memegang watak ejen baharu, namun masih mengekalkan kod ejen yang sama iaitu 007.

Manakala, laporan sebuah tabloid dari United Kingdom, Daily Mail pula mengatakan, pelakon dari Britain itu bukanlah Bond yang baharu, namun satu karakter yang menggantikan kod ejen rahsia 007 apabila watak Craig meninggalkan MI6.

Pelbagai respons diterima daripada para peminat seluruh dunia dan persada perfileman Hollywood sendiri terhadap khabar angin tersebut.

Ada yang teruja melihat perkembangan itu kerana ia disifatkan sebagai satu sejarah buat francais filem yang berusia 55 tahun itu, di mana buat pertama kalinya ia menampilkan pelakon wanita sebagai James Bond.

Namun, tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan menganggap pemilihan Lynch sebagai tidak memenuhi kriteria seorang Bond sejati yang kebiasaannya menampilkan hero yang maskulin, tampan, bergaya dan digilai ramai peminat wanita.

Lynch sebelum ini mencuri tumpuan ramai dengan lakonannya sebagai Maria Rambeau, rakan baik kepada Captain Marvel dalam filem adiwira Marvel itu.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi dibuat daripada mana-mana pihak mengenai perkara tersebut.

Sama-sama kita nantikan kejutan yang bakal diumumkan selepas ini!

Foto: Instagram 007 & Instagram Lashana Lynch