Latih anak kecil puasa secara berperingkat

Kehidupan Hanita Hassan 30-Apr-2020
Latih anak berpuasa © Arapix | Dreamstime.com

Ramadan yang menjelma membuatkan ramai ibu atau bapa teruja mahukan anak-anak turut berpuasa.  Belajar menahan lapar dan dahaga sepanjang hari.  Anak adalah harta yang cukup berharga dalam sesebuah perkahwinan. Anak ibarat kain putih. Anda sebagai ibu bapa yang berperanan mencorakkannya.

Mendidik anak untuk berpuasa adalah menjadi kewajipan kedua ibu bapa. Umur yang sesuai bergantung kepada tahap kemampuan anak.  Ada yang seawal empat ke lima tahun sudah boleh berpuasa.  Sekiranya tidak mampu ajarlah pada usia tujuh tahun.

Bagi anak-anak yang masih belum mencapai usia baligh, ia tidak diwajibkan berpuasa.  Namun, tidak salah untuk mengajar anak berpuasa seawal usia agar ia menjadi budaya yang baik dalam diri mereka.

Dalam Islam tiada had umur yang ditetapkan untuk anak-anak mula berpuasa berbanding solat. Namun, ada sesetengah ulama berpendapat ibu bapa boleh melatih anak berpuasa mengikut cara didikan solat Nabi Muhammad SAW yang boleh dilakukan secara berperingkat.

Anak yang berusia empat tahun ke atas belajar melalui peringkat melihat. Mereka biasanya belajar melihat perlakuan ibu bapa dan adik-beradik yang lain.  Usia tujuh hingga 10 tahun adalah peringkat mendidik melalui mendengar.

Pada usia 10 tahun ke atas baharu kita boleh mendidik dengan hukuman. Hukuman di sini bukan bermaksud memukul sebaliknya menggunakan kaedah psikologi seperti tidak mendapat hadiah atau duit raya  sekiranya masih tidak mahu berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda:  “Anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan menjadi Nasrani, Yahudi ataupun Majusi.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk permulaan, anda digalakkan mengajar anak-anak berpuasa setengah hari supaya terdedah dengan aktiviti berpuasa.  Ia baik untuk membantu anak membuat persediaan apabila mencapai usia baligh nanti.

Dalam masa yang sama, anda hendaklah memastikan anak-anak juga turut sama duduk di meja makan sewaktu bersahur.  Sekiranya mereka tidak berselera untuk makan makanan yang dihidangkan di awal pagi, anda boleh menyediakan makanan berkhasiat seperti susu yang dicampur dengan madu, kurma dan kekacang untuk nutrien mereka sepanjang berpuasa.

Susu adalah antara makanan sunnah yang baik untuk anak-anak. Begitu juga madu. Ia disebut jelas dalam al-Quran.  Lebah adalah serangga yang melihat, mencari dan memilih manisan yang terbaik.

Sewaktu berbuka puasa atau iftar, anda juga boleh menggalakkan anak-anak bersedia lebih awal di meja makan.  Ajarilah anak tentang adab makan sambil menceritakan kisah-kisah sirah Rasulullah SAW dan kelebihan berpuasa.  Berikan ganjaran kepada anak-anak yang mampu berpuasa secara sempurna dengan menyediakan juadah berbuka kesukaan mereka.

Selain itu, aktiviti seperti solat fardhu dan tarawih berjemaah juga boleh dilibatkan supaya anak teruja berada dalam bulan Ramadan dan membangkitkan keinginan untuk berpuasa.

Semoga anak-anak anda dapat berpuasa penuh pada Ramadan kali ini yang merupakan peluang terbaik kerana mereka hanya akan berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantulah anak mengerjakan kebaikan sejak kecil.  Hendak melentur buluh biarlah daripada  rebungnya.