Lebah dan madu dalam al-Quran Allah SWT

Kepercayaan Hanita Hassan 15-Sep-2020
dreamstime_s_42551853
Lebah seperti dalam al-Quran © Hairlessape | Dreamstime.com

Lebah adalah makhluk Allah SWT yang kecil saiznya namun memberi banyak manfaat kepada manusia dan juga alam ini.  Kisah lebah telah tertulis di dalam al-Quran dalam surah An-Nahl, iaitu surah yang ke-16.  Surah ini terdiri daripada 128 ayat yang termasuk golongan surah Makkiyyah.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah:  “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.” (Surah an-Nahl, ayat 68)

Sekiranya kita pernah merasai madu lebah, ia sudah tentu sedap dan manis.  Malah mengandungi banyak khasiat. Lebah adalah binatang yang menghasilkan madu.  Antara khasiat madu ialah penawar kepada masalah batuk, meningkatkan sel darah merah dalam badan, melembapkan kulit dan pelbagai lagi.

Selain dimakan mentah, madu juga digunakan dalam produk kecantikan.  Ia membuktikan bahawa madu bukan sahaja berfungsi sebagai penawar dalaman  tetapi juga boleh digunakan melalui penggunaan luaran.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Dari perut lebah itu keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat, yang menyembuhkan bagi manusia.  Sesungguhnya pada  yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”  (Surah an-Nahl, ayat 69)

Meskipun dijadikan Allah SWT sebagai makhluk yang kecil, namun semangat bekerjanya cukup hebat.  Bayangkan lebah daripada sarang yang sama akan melawat lebih kurang 22,500 kuntum bunga setiap hari dan sekiranya dipecahkan mengikut kadar seekor lebah, lebih kurang 50,100 kuntum bunga sehari bagi seekor lebah.

Sebanyak lebih kurang dua juta kuntum bunga perlu dicari oleh lebah bagi menghasilkan satu paun madu.  Kita tidak dapat membayangkan bagaimana kesungguhan lebah yang boleh melakukan tugas ini.

Pernahkah kita terfikir bagaimana kumpulan lebah dapat membina sarangnya yang berbentuk heksagon.  Ia sangat menarik dan menakjubkan.  Lebah juga dikatakan hanya tidur sebentar dan tidur sebentar ini adalah satu-satunya cara untuk lebah merehatkan diri.  Malah lebah lebih suka bekerja dan boleh mati akibat keletihan melampau.

Manusia yang merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang paling sempurna dan berakal seharusnya boleh melakukan setiap pekerjaan dengan lebih baik  jika mengambil iktibar daripada kisah lebah yang berdisiplin, setia dan rela berkorban.  Sepertimana madu yang dihasilkan oleh lebah yang sangat bermanfaat kepada manusia.  Begitulah hendaknya diri kita supaya sentiasa  memberi manfaat kepada orang lain.

Lebah tidak pernah merosakkan apa-apa pun walaupun sekadar ranting pohon.  Seekor binatang yang sopan dan penuh kesantunan dalam melayani apa sahaja yang ada di sekelilingnya.  Justeru jadilah insan yang baik dan tidak pernah menyakiti orang lain.

Setiap sesuatu yang difirmankan Allah SWT dalam al-Quran adalah petunjuk kepada manusia untuk menjadikannya sebagai panduan.  Oleh kerana itu, kita digalakkan sentiasa membaca dan mentadabur isi kandungan al-Quran kerana di dalamnya terdapat seribu satu panduan untuk kita belajar melayari kehidupan di dunia ini.

Seperti kata pepatah, ‘Pandanglah dengan pandangan mata lebah yang hanya melihat kebaikan di matanya bukan seperti mata lalat yang hanya mencari kekotoran sahaja’. Ungkapan yang tepat kerana lebah hanya mencari bunga yang indah sahaja untuk menghasilkan madu.

Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia.  Justeru, marilah kita jadikan sifat baik yang ada pada lebah sebagai inspirasi untuk menjadi manusia yang lebih baik hari ini berbanding semalam.