Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Lebih baik tidak pandai daripada memandai-mandai

Psikologi 15 Feb 2021
Pendapat oleh Tari Basir
Lebih baik tidak pandai daripada memandai-mandai
Lebih baik tidak pandai daripada memandai-mandai © Anastasiia Yanishevska | Dreamstime.com

Kewujudan internet telah banyak membantu umat manusia dalam pelbagai aspek. Antaranya menambahkan ilmu pengetahuan baharu dengan mudah. Segalanya kini berada di hujung jari, bahkan maklumat boleh dicapai dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

Setiap hari, manusia mampu belajar sesuatu perkara yang baharu dengan internet. Tidak tahu itu ini, pelbagai aplikasi seperti YouTube atau Google menyediakan 1001 jawapan untuknya.

Bahkan, internet juga menyediakan 1001 jawapan untuk persoalan berkaitan kesihatan dan juga soal jawab agama. Bagi persoalan agama khususnya, pelbagai portal, laman sesawang atau blog disediakan agar persoalan agama boleh dijawab dengan segera.

Membaca dan mendalami ilmu dua perkara yang berbeza

Walau bagaimanapun, 1001 jawapan yang tersedia di internet bagi menjawab satu persoalan belum tentu lagi sahih lagi tepat. Apatah lagi kewujudan media sosial seperti Facebook atau baru-baru ini TikTok, di mana wujudnya ramai penjawab yang berlumba-lumba memberikan jawapan.

Bukan semua penjawab ini ialah mereka yang betul-betul mendalami ilmu berkaitan persoalan tersebut. Sama ada sebagai bidang pengkhususan mereka atau mengetahui segala perbahasan yang dibincangkan, asas mahupun cabangnya (furu’).

Bagi para penjawab yang benar-benar mendalami, jawapan yang diberikan bukan sahaja pasti, bahkan tepat dan memuaskan mereka yang bertanya. Bahkan, kedalaman ilmu atau sijil pengajian seperti status Doktor Falsafah, para asatizah dan sebagainya menambah keyakinan bagi mereka yang mahu bertanya.

Malangnya, majoriti besar penjawab ini bukanlah mereka yang memiliki autoriti, jauh sekali mendalami isu perbahasan persoalan yang dibangkitkan. Mereka hanya berminat menjawab bagi menunjukkan mereka ialah orang yang tahu dan cakna, agar para pengikut mereka atau followers menyedari perkara tersebut.

Sifat hanya sekadar meraih tontonan atau views atau memiliki followers menyebabkan para penjawab itu tadi berani mengulas sesuatu persoalan yang bukan bidangnya. Jauh sekali mendalami apatah lagi benar-benar tahu. Ilmunya itu hanya dicedok dalam seminit dua melayari internet. Berbanding dengan mereka yang benar-benar mendalami dan menuntut ilmu dalam tempoh yang lama.

Jangan memandai-memandai jika tidak pandai

Malangnya, tidak semua yang bertanya betul-betul memilih dalam sumber pencarian jawapan persoalan mereka. Asalkan para penjawab memiliki followers yang ramai dan terkenal, sudah memadai.

Sudahlah jawapan yang diraih tidak seratus peratus sahih atau benar, malah terus diambil menjadi amalan kehidupan. Apatah lagi jika ia bersangkut paut dengan amalan keagamaan yang melibatkan dosa dan pahala. Atau kesihatan yang melibatkan soal hidup dan mati.

Hakikatnya, perkara ini cukup berleluasa dalam kalangan masyarakat. Jika tidak dibendung, ia akan menyebabkan huru-hara dan fitnah dalamnya. Kerana itulah Nabi Muhammad SAW berpesan dalam hadis yang diriwayatkan Abu Daud r.a:

“Barangsiapa yang diberi fatwa tanpa ilmu, maka dosanya akan ditanggung oleh orang yang memberi fatwa.”

Tidak mengapa sebenarnya, jika mengatakan ‘tidak tahu’ dalam sesuatu persoalan, kerana ia bukan lambang kehinaan. Kehinaan sebenarnya ialah buat-buat tahu dan memandai-mandai. Bahkan memiliki sijil Doktor Falsafah dan Professor juga bukan bermakna dirinya berautoriti untuk mengulas persoalan yang bukan bidangnya.

Contohilah Imam Malik r.a yang tidak segan menyatakan dirinya tidak tahu akan jawapan 32 soalan daripada 48 persoalan yang ditanya anak-anak muridnya. Jika beliau yang merupakan salah satu Imam mazhab yang terkemuka mampu berbuat demikian, apatah lagi mereka yang sekadar ilmunya di internet.

Ingatlah, ada perbezaan antara ‘saya tahu’ dengan ‘saya rasa’ dalam menjawab sesuatu persoalan.