Lebih dua ribu pelajar universiti zon tengah pulang ke selatan semenanjung

Para pelajar bersedia untuk pulang ke rumah © facebook.com/UniPutraMalaysia

Bermula jam 10 malam tadi, dalam gerakan yang dikendalikan oleh Universiti Pertanian Malaysia (UPM), seramai 2,362 pelajar dari tujuh universiti zon tengah pulang ke selatan semenanjung Malaysia di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi mengatakan, universiti awam yang terlibat adalah dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ini termasuk UPM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL).

Dr. Noraini berpuas hati dengan kelancaran proses yang dikoordinasikan oleh UPM. Beliau mendoakan selamat kembali kepada semua pelajar terlibat yang menaiki 14 bas ke 11 lokasi, iaitu tiga di Negeri Sembilan, tiga di Melaka dan lima di Johor.

Dr. Noraini merakamkan ucapan terima kasih kepada naib canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris dan timbalan naib canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dalam memastikan semua proses berjalan lancar.

Pada 2 Mei, UPM juga menjadi tuan rumah proses perjalanan untuk kepulangan pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari zon tengah ke beberapa lokasi di zon Perak yang melibatkan 1,876 pelajar.