Lebih spiritual daripada beragama?

Kesejahteraan Mental Adea Ghafar
Pendapat oleh Adea Ghafar
Lebih spiritual daripada beragama?
Lebih spiritual daripada beragama? © Nikhil Gangavane | Dreamstime.com

Mencari bahan bacaan mengenai Islam adalah satu perkara yang semakin mencabar pada masa kini. Terdapat macam-macam tajuk yang memberi gambaran tentang agama dalam jiwa masyarakat hari ini.

Ada banyak buku-buku di pasaran dengan tema besar kerohanian atau spiritual. Idea atau ciri kerohanian duniawi ini pada asasnya bersifat abstrak, psychedelic, falsafah, popular, dan berpusat kepada memanfaatkan diri sendiri.

Sebagai Muslim, kecenderungan atau kekeliruan dalam memilih pendekatan kerohanian sebegini membolehkan seseorang membentuk pegangan iman yang cacamarba.

Saya lebih spiritual daripada beragama

Kepada yang pernah mengatakan “Saya lebih spiritual daripada beragama” (I am more spiritual than religious), fikir dua kali akan kecenderungan ini. Ia mengabaikan dan pada asasnya memisahkan Allah SWT dan agama Islam daripada kerohanian. Ia seperti mengatakan sukakan kereta yang bersih, tetapi tidak mahu membersihkannya atau merasakan diri suka membaca tapi tidak mahu membaca.

Amalan-amalan seperti berfikir secara mendalam, dan bertanya atau berusaha memahami soalan yang sukar – ini kebiasaan seseorang yang terasa spiritual. Terma dan mantra seperti ‘Ying-Yang’, ‘Hukum Alam’, ‘Zen’, Aura’ atau ‘Karma’, perkara-perkara abstrak ini pula menjadi sumber kelegaan jiwa mereka.

Kerohanian bukan mengenai hasil jangka pendek atau mahukan suasana terhebat. Ia adalah pelaksanaan kebenaran yang berkekalan. Kerohanian adalah gaya hidup yang memerlukan komitmen dan dapat membantu diri seseorang.

Tidak ada kerohanian tanpa agama

Kerohanian tanpa agama adalah tidak berasas. Tidak ada kerohanian tanpa agama kerana kerohanian wujud untuk menyucikan jiwa, sebagai persiapan menuju Ilahi. Kerohanian sebenar adalah menggali jiwa dengan mendalam agar terasakan khasiat yang tumbuh dengan benar.

Kerohanian juga merupakan pendamping ritual, hukum, dan disiplin yang sangat diperlukan. Tidak ada kerohanian yang benar tanpa agama, sama seperti tidak ada burung yang terbang tanpa kedua sayapnya.

Tujuan sebenar mengambil jalan spiritual bukanlah untuk merasai kebahagiaan. Ia sebenarnya adalah untuk mengenali diri sendiri. Proses introspeksi yang brutal mesti dimulakan, dan ego diri akan melawannya. Namun, seseorang harus belajar merendahkan diri atau mengakui kelemahan.

Perkara-perkara ini semua akan menjadi isi kepada doa anda. Disiplin amat diperlukan untuk terus berada di jalan ini secara tekal. Kadang-kadang terpaksa menarik diri kembali ke landasan yang betul. Semuanya melibatkan kekuatan dan keperitan.

Kenal jalan menuju Allah SWT

Sebilangan besar kerohanian sekular hari ini fokusnya adalah hanya kepada idea mengenal diri, dan mengetepikan idea Tuhan. Namun kerohanian pada akhirnya adalah mengenai perjalanan menuju Allah SWT. Kerana tidak ada usaha sama ada kecil atau besar yang pernah hilang apabila kita bersama-Nya.

Latihan rohani yang sebenar tujuannya adalah untuk memupuk hubungan kuat dengan Ilahi; kerohanian hanyalah wahana atau alat hubungan cinta ini. Tujuan latihan rohani sebenar bukan untuk ‘hanya menjadi siapa kamu’, tetapi menjadi lebih baik daripada siapa kamu waktu ini. Pertumbuhan diri, bukan meraikan sekarang.

Seperti yang termaktub dalam al-Quran, mengenai kerohanian Nabi Ibrahim a.s:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(Surah al-An’aam, 6 ayat 162)

Kerohanian utama seorang Muslim adalah untuk mengetahui tentang Allah SWT, dan melaluinya, seseorang akan mengenal diri sendiri. Ia akan memenuhi naluri dalam diri manusia untuk menyatakan rasa syukur, muhasabah diri, dan menguatkan jiwa Islam.