Lebihkan membaca dalam bulan Ramadan

Pendidikan 21 Apr 2021 Siti Suriani Othman
Pilihan oleh Siti Suriani Othman
Lebihkan membaca dalam bulan Ramadan
Lebihkan membaca dalam bulan Ramadan © Jasminko Ibrakovic | Dreamstime.com

Pada bulan istimewa ini, seluruh umat Islam berlumba-lumba menggandakan aktiviti ibadah mereka. Sudah pasti semuanya berusaha memastikan kualiti ibadah yang lebih baik daripada sebelumnya. Antara aktiviti yang sangat mudah dan bermanfaat serta membantu meningkatkan kualiti ibadah Ramadan seseorang ialah membaca.

Artikel ini akan membincangkan kepentingan membaca dalam bulan Ramadan sebagai aktiviti penting dalam kalangan umat Islam.

Apa yang dibaca dalam bulan Ramadan?

Umumnya, tumpuan diberikan terhadap membaca al-Quran. Dalam pada itu, membaca bahan bacaan yang baik-baik juga digalakkan dalam bulan Ramadan kerana sifat aktiviti membaca yang santai dan tidak memenatkan secara fizikal.

Ramadan adalah bulan al-Quran diturunkan bagi umat manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Membaca al-Quran pada bulan Ramadan sangat istimewa ganjaran pahalanya kerana ganjarannya ibarat melakukan ibadah fardhu walaupun membaca al-Quran itu adalah sunat hukumnya pada hari-hari di luar Ramadan.

Selain membaca al-Quran, umat Islam juga tidak boleh melecehkan aktiviti membaca buku dalam bulan mulia ini. Membaca bahan bacaan yang bermutu tinggi dan baik-baik memperteguh iman seseorang. Ini kerana, kita menjadi lebih faham tentang sesuatu perkara, berfikiran terbuka dan berupaya berfikir dengan lebih matang.

“Barang siapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duanya pula.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengapa membaca buku di bulan Ramadan?

Membaca juga meningkatkan pengetahuan dan pengetahuan ini harus dikongsikan kepada orang lain, maka akan menjadi amal jariah yang berpanjangan.

“Apabila manusia telah meninggal dunia maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga amalan : shadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak shalih yang mendoakan dia.”

(Hadis riwayat Muslim)

Membaca buku itu jambatan ke syurga. Membaca buku tentang Islam dan menambah pengetahuan tentang Islam mempersiapkan diri umat Islam untuk lebih memahami diri dan agamanya. Darjat mereka yang menuntut ilmu memang tinggi dalam Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Siapa yang menempuh jalan dalam rangka menuntut ilmu maka Allah akan perjalankan (mudahkan) ia jalan menuju Syurga. Sungguh para malaikat mengepakkan sayap-sayap mereka kerana reda dengan penuntut ilmu. Sungguh orang alim benar-benar dimintakan ampun oleh makhluk di langit dan di bumi hingga ikan di laut.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Maka dengan janji-janji Allah Taala ini, janganlah kita sesekali memandang enteng aktiviti membaca terutamanya dalam bulan Ramadan. Dengan keistimewaan bulan ini, semoga berganda-ganda pahala yang akan dikurniakannya.

Memang kita beribadah bukan semata-mata mengharapkan pahala, nanti risau hilang keikhlasan, namun, itu tidak dinafikan adalah suatu motivasi yang menarik umat Islam untuk berbuat baik dan berusaha istiqamah dalam melakukan kebaikan.