‘Lelakimu Yang Dulu’ Kini di Slot Akasia TV3

Slot paling popular di TV3 kini tampil dengan drama rantaian terbaru berjudul ‘Lelakimu Yang Dulu.’ Drama 28 episod arahan Eoon Shuhaini dan terbitan Mache Allstar United Sdn. Bhd. ini merupakan adaptasi daripada novel karya Farah Darianna terbitan Idea Kreatif.

‘Lelakimu Yang Dulu’ Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose sebagai teraju utama dan dibantu oleh barisan pelakon lain seperti  Redza Rosli, Ungku Hariz, Reen Rahim, Nadia Brian, Azizah Mahzan, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Dian P. Ramlee.

‘Lelakimu Yang Dulu’ mengisahkan tentang konflik perkahwinan antara Hazrul (Sharnaaz Ahmad) dan Daliya (Nelydia Senrose) apabila mereka terpisah selepas Hazrul ditangkap di atas cubaan merogol.

Selepas Hazrul ditangkap, Daliya bertemu Hazrul dan ingin mendapatkan penjelasan terus dari suaminya itu. Namun, Hazrul masih mendiamkan diri.

Daliya cuba menuntut cerai tetapi Hazrul enggan berbuat demikian. Daliya mengambil keputusan untuk membawa diri. Beberapa bulan kemudian, Daliya masih buntu memikirkan masa depannya lebih-lebih lagi dia disahkan mengandung.

Namun, kandungannya itu dirahsiakan daripada Hazrul. Daliya ditemukan dengan Nazli, Zana, dan Ibu Maryam apabila Daliya pengsan selepas hampir dilanggar oleh kereta milik Nazli.

Kehidupan Daliya berubah selepas tinggal di rumah Ibu Maryam sekeluarga. Dia bekerja sebagai tukang jahit di kilang langsir Ibu Maryam.

Kehadiran Daliya disenangi, lebih-lebih lagi oleh Nazli apabila dia mula ada hati dengan Daliya. Berlainan pula dengan Zana, dia tidak suka pada Daliya dan cemburu dengan layanan baik keluarganya terhadap Daliya.

Selepas dua tahun, Hazrul dan Daliya ditemukan semula. Anak yang dirahsiakan itu akhirnya diketahui oleh Hazrul. Hazrul berusaha untuk memiliki anak mereka, Isyraf untuk membalas dendam pada Daliya.

Bagi Hazrul, Daliya adalah isteri yang tidak setia. Daliya meninggalkannya sewaktu dia kehilangan segalanya.

Adakah rasa dendam akan terus mengatasi rasa cinta Hazrul buat Daliya? Dapatkah Daliya menerima Hazrul kembali?

Jangan lupa untuk saksikan kesudahan drama ‘Lelakimu Yang Dulu’ yang setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di TV3.

Kredit foto : TV3 Malaysia