Lembah Pantai zon kawasan khas termerah dengan 572 kes jangkitan COVID-19

Kehidupan Syed Safri 15-Apr-2020
Kawasan Lembah Pantai, Kuala Lumpur © Gwmb2013 | Dreamstime.com

Menurut Kementerian Kesihatan, setakat tengah hari semalam, Lembah Pantai terus menjadi kawasan khas (hotspot) korona virus baru COVID-19 paling teruk di Malaysia. Ia mencatat sejumlah 572 kes atau 11.5% daripada 4,987 jumlah jangkitan seluruh negara. Lembah Pantai, di Kuala Lumpur telah melangkaui 500 kes, dan ini adalah lebih tinggi daripada negara-negara lain di Asia seperti Taiwan dengan 393 kes, Vietnam 267 kes dan Brunei 136 kes.

Sementara itu, jumlah jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur telah meningkat 26% atau sebanyak 1,292 kes. Pada 31 Mac, Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan 960 kes tetapi jumlahnya terus meningkat sehingga mencapai 2.592 kes baru dari jumlah keseluruhan sebanyak 4,987. Berdasarkan statistik daripada Crisis Preparedness and Response Center (CPRC), jumlah zon merah di Malaysia meningkat kepada 27, dengan Hulu Langat mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi. Ia telah mendaftarkan sebanyak 433 kes setelah ditambahi 14 jangkitan baru daripada 419 kes, pada 13 April.

Kawasan khas zon merah lain di Semenanjung Malaysia termasuk Petaling dengan 346 kes, Seremban (260), Kluang (201), Johor Bahru (183), Klang (164), Gombak (133), Kepong (126), Titiwangsa (116), Kinta ( 93), Kota Bharu (90), Kuantan (80), Cheras (73), Jerantut (70), Jasin (68), Sepang (66), Hilir Perak (65), Putrajaya (54), Rembau (53), Batu Pahat (51), Melaka Tengah (48) dan Hulu Selangor (45).

Di Malaysia Timur, Kuching telah mencatatkan 240 kes, apabila ditambahi 13 jangkitan baru (daripada 227 pada 13 April). Tawau mengekalkan  79 kesnya, dan Kota Samarahan menjadi 51 kes apabila bertambah dua lagi jangkitan. Sementara itu, Kota Kinabalu di Sabah kini hampir digolongkan sebagai zon merah dengan 40 kes telah direkodkan. Lima kes positif COVID-19 baru dicatatkan di Sabah semalam, menjadikan jumlah di negeri ini meningkat kepada 285 kes.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan  telah menyelesaikan operasi pembersihan di seluruh negara, termasuk 27 zon merah yang telah melalui proses pembasmian pencemaran. Pemulihan harian COVID-19 di Malaysia telah melebihi 200 kes buat kali yang ketiga, dengan 202 pemulihan baru. Ini menjadikan jumlah pemulihan keseluruhan di Malaysia kepada 2,478 kes atau 49.7%. Pemulihan harian telah melebihi jumlah jangkitan harian, iaitu 170. Jumlah jangkitan COVID-19 meningkat kepada 4,987 kes, dengan lima lagi kes kematian dilaporkan, yang membabitkan empat rakyat Malaysia dan seorang warga asing.