Letupan Beirut mengubahnya menjadi kota bencana 

Dunia Zalika Adam 05-Ogo-2020
Pemandangan udara semasa letupan di kawasan pelabuhan di Beirut © Vampy1 | Dreamstime.com

Letupan dahsyat telah meggegarkan Beirut, ibu kota Lubnan pada 4 Ogos, mengakibatkan ribuan tercedera. Ia berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun (ada yang mengatakan sudah 6 tahun) di kawasan gudang pelabuhan di Beirut itu.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab menyatakan bahawa baja kimia untuk pertanian itu adalah punca letupan yang membawa malapetaka kepada penduduk Beirut. Letupan ini telah mengorbankan seramai 73 orang dan mencederakan seramai 3,700 yang lain seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kesan letupan

  • Kerosakan beberapa bangunan yang terletak berhampiran dari lokasi letupan
  • Kediaman bekas Perdanan Menteri, Saad Hariri turut musnah
  • Letupan kedua menyebabkan bola api ke udara yang turut menggegarkan bandar
  • Serpihan kaca dari bangunan bertebaran sejauh 25 kilometer dari tempat letupan
  • Letupan dirasai sehingga ke Cyprus 200 km dari lokasi kejadian
  • Banyak kediaman musnah

Majlis Menteri Lubnan telah bermesyuarat dengan segera untuk membincangkan perkembangan letupan ini. Seterusnya, Majlis Pertahanan Tertinggi telah mengumumkan keadaan darurat selama dua minggu di Beirut. Sebuah jawatankuasa penyiasatan mengenai punca bencana berlaku telah dilantik dan hasil penyiasatan akan diserahkan kepada pihak berkuasa kehakiman dalam jangka waktu maksimum lima hari. Ia mengesyorkan agar hukuman berat diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Majlis Pertahanan Tertinggi juga akan menggerakkan pelabuhan Tripoli untuk operasi komersial import eksport. Hal ini berlaku untuk menyelamatkan kuantiti gandum setelah rosak disimpan di pelabuhan Beirut. Suruhanjaya Bantuan Tinggi ditugaskan untuk menjamin penempatan bagi keluarga yang kediaman mereka tidak lagi dapat dihuni. Kementerian Pendidikan juga diminta untuk membuka sekolah bagi penempatan keluarga tersebut.

Bagi mengimbangi keadaan darurat, pihak berkuasa akan segera mengambil alih dan menyediakan pasukan keamanan. Kesemua angkatan bersenjata sudah bersedia, termasuk pasukan keamanan dalam negeri, keamanan orang awam, keamanan negara, kastam, dan angkatan bersenjata di pelabuhan, lapangan terbang, dan unit pengawal bersenjata.

Presiden Amerika, Donald Trump dan Setiausaha Negara Mike Pompeo telah mengumumkan kesediaan Washington untuk memberikan bantuan kepada Lubnan, dan Trump menggambarkan kejadian itu sebagai ‘serangan yang mengerikan’. Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengesahkan bahawa negaranya mengirim pasukan Angkatan Pertahanan Awam dan banyak bantuan perubatan ke Lubnan.

Menurut Badan Berita Nasional Lubnan, tiga buah hospital bergerak dijadualkan tiba di Beirut. Dua buah dari Qatar dan sebuah dari Iraq sebagai usaha untuk membantu Lubnan, bersama dengan bantuan minyak dari Baghdad untuk membantu meredakan krisis. Setiausaha Jeneral Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan komitmen PBB untuk menyokong Lubnan, dan beliau mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakyat Lubnan yang terkorban.

Kenyataan itu juga menunjukkan bahawa antara yang cedera adalah anggota pasukan pengaman PBB yang beroperasi di Lubnan, di mana salah satu kapal UNIFIL rosak akibat letupan itu. Pihak berkuasa Lubnan telah menerima banyak ucapan takziah dan tawaran bantuan daripada Rusia, Jerman, Iran, Syria, Mesir, Palestin, Bahrain, Turki dan Israel.