Liga bolasepak kembali bermula di Jerman

Sukan Chan Abdullah 27-Mei-2020
Liga Bundesliga buka semula © Olena Denysova Olena Denysova | Dreamstime.com

Bagi peminat-peminat bolasepak seluruh dunia, kempen liga bolasepak yang disambung kembali pastinya sesuatu yang sangat dinanti-nantikan. Pada 16 Mei 2020 yang lalu, kempen liga bolasepak Jerman yang dikenali sebagai Bundesliga telah disambung dan diteruskan semula.

Bersesuaian dengan kelaziman yang baru, perlawanan bolasepak telah dilangsungkan di dalam stadium yang tertutup tanpa penonton. Pemain dan petugas yang berada di bangku simpanan pula perlu duduk secara berasingan dengan mematuhi penjarakan sosial yang telah ditetapkan dan perlu memakai penutup muka.

Perlawanan di dalam stadium kosong tanpa penyokong bukanlah menjadi masalah besar buat pasukan gergasi Jerman iaitu Borussia Dortmund dan Bayern Munich. Masing-masing telah mencatatkan kemenangan bergaya dengan menewaskan pasukan lawan.

Pasukan Dortmund telah menang bergaya ke atas pasukan lawan dengan jaringan empat gol berbalas kosong. Penyerang sensasi Dortmund, Erling Haaland meneruskan kecemerlangannya sebelum ini dengan menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut.

Pasukan Bayern pula mengukuhkan kedudukan mereka di persada Bundesliga dengan kemenangan dua gol berbalas kosong ke atas pasukan lawan.

Ketika Bundesliga kembali beraksi, Jerman mempunyai 175,210 kes positif COVID-19 yang telah mengorbankan lebih 8,000 orang. Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Bundesliga, Christian Seifert memberi amaran perlawanan perlu dilangsungkan secara tertutup bagi mengelak risiko jangkitan.

Kelaziman baru dalam perlawanan bolasepak ini juga pastinya agak kekok buat pemain dan juga para penonton. Pemain perlu bermain di dalam stadium yang kosong tanpa sorakan padu penonton. Tiada aktiviti bersalaman dan berpelukan telah dibenarkan. Malah, meraikan gol yang dahulu biasa dilakukan juga tidak dibenarkan. Penonton pula pastinya merasa sedikit hampa kerana hanya mampu melihat pemain dan pasukan kegemaran mereka melalui kaca televisyen sahaja.

Liga Bundesliga yang kini kembali beraksi pastinya turut memberi harapan kepada liga-liga bolasepak di seluruh dunia dan sukan yang lain untuk kembali beraksi. Walaupun begitu, masih terdapat beberapa risiko yang perlu ditangani dengan lebih baik. Pada perlawanan pertama setelah Bundesliga direhatkan, lapan kecederaan berkenaan otot telah dilaporkan.

Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini para pemain sudah tidak beraksi hampir dua bulan. Tahap kecergasan para pemain belum kembali sampai ke tahap yang sepatutnya. Dalam menangani isu ini, pihak pengurusan liga perlulah bekerjasama dengan badan induk bolasepak bagi memastikan kesihatan dan kepentingan para pemain terjaga.

Bukan sekadar kepentingan ekonomi dan wang ringgit semata-mata, permulaan semula liga bolasepak perlu menitik beratkan semua aspek keselamatan dan garis panduan bagi mengurangkan penyebaran wabak COVID-19. Permulaan semula Bundesliga ini akan menjadi sumber rujukan liga bolasepak dan sukan yang lain. Para peminat dan atlet perlulah menerima bahawa inilah kelaziman hidup yang baharu.