‘Light’ Angkat Kisah Sejarah Pulau Pinang Yang Belum Pernah Diceritakan

Peperangan, dadah, senjata, kebebasan, cinta, semangat perkauman dan kapitalisme pasaran bebas.

Kesemua tema tersebut diangkat dalam sebuah naskhah teater sejarah yang bertajuk Light.

Ditulis dan diarahkan oleh Thomas Henning dari Australia serta diterbitkan oleh TerryandTheCuz dari Malaysia, kerjasama antara dua budaya itu melahirkan sebuah pementasan yang mengangkat kisah penaklukan Pulau Pinang, kelahiran Adelaide serta kebangkitan empayar British.

Light mengetengahkan kisah sejarah keluarga Francis Light, penjajah yang membuka Pulau Pinang yang belum pernah kita dengar daripada pembelajaran sejarah kita selama ini.

“Sejak lima tahun lepas, kami mengumpul maklumat daripada dokumen-dokumen sejarah dan bertemu dengan ahli-ahli sejarah bagi membongkar rahsia kisah yang jarang diceritakan dan diterbitkan ini.

“Akhirnya, terhasillah karya ini dengan bantuan penulis dan pengarah hebat seperti Henning,” ujar Pengasas bersama TerryandTheCuz, Govin Ruben.

Menurut Govin, pementasan Light adalah lain daripada yang lain kerana ia memaparkan kisah dari suatu sudut pandangan yang berbeza.

“Setiap ahli sejarah mempunyai perspektif berbeza terhadap sesuatu peristiwa, dan mereka melihat serta mentafsir mengikut apa yang mereka mahu percaya.

“Jika selama ini kita didedahkan dengan kisah-kisah sejarah mengikut perspektif propaganda penjajah, mungkin selepas menonton pementasan Light, anda akan melihatnya dengan satu sudut yang lain pula,” jelas Govin.

Light merupakan kisah fenomena dua generasi, yang merangkumi pengkhianatan dan cita-cita serta bagaimana tindakan seseorang mampu memberi kesan mendalam dan berpanjangan sehingga ke hari ini.

Light meneroka sejarah sebagai propaganda dan mitos, mengkaji memori budaya yang berat sebelah dan mempersoalkan erti kebenaran yang telah tersirat.

Sejarah yang ditulis semula ini merangkumi kisah empat benua yang dilakonkan oleh hanya tiga orang pelakon dalam pementasan selama dua jam.

Ia dijayakan oleh para pelakon hebat iaitu Junji Delfino, Gavin Yap dan Arief Hamizan.

Selain itu, ia karya ini juga bakal dipersembahkan di The OzAsia Festival yang akan berlangsung di Adelaide, Australia pada 17 Oktober hingga 3 November 2019.

Light akan dipentaskan di Indicine, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) pada 23 –26 Ogos 2019 dan 28 – 29 Ogos 2019.

Tiket boleh ditempah secara online di: https://proticket.com.my/klpac-light-creative-development-showings/.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.terryandthecuz.com atau Facebook TerryandTheCuz.

Foto: TerryandTheCuz