Lightyear One, Sebuah Prototaip Kereta Solar Jarak Jauh

Suka Nor Syariza Tahir 26-Jun-2019

Lightyear, pelopor bagi mobiliti bersih, memperkenalkan kereta solar jarak jauh pertamanya, Lightyear One yang dipersembahkan kepada para pelabur, pelanggan, rakan kongsi dan media dalam satu majlis di Katwijk, Belanda.

“Detik ini membawakan era baharu pemanduan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Lightyear, Lex Hoefsloot.

Direka untuk mengoptimumkan kecekapan dan keselamatan, Lightyear One mempunyai jangka hayat bateri lebih panjang berbanding pesaingnya dan boleh mengecas pada bila-bila masa ketika di bawah sinaran matahari.

“Perubahan iklim merupakan satu perkembangan menakutkan yang hampir melumpuhkan.

“Disebabkan itu, kami memutuskan untuk melakukan sesuatu yang bertentangan. Sebagai jurutera, kami percaya bahawa kami boleh melakukan sesuatu.

Lightyear One memberi peluang untuk mengubah mobiliti ke arah lebih baik,” ujar Hoefsloot.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2016 oleh alumni Solar Team Eindhoven yang memenangi Cabaran Solar Dunia Bridgestone, Lightyear menerima anugerah, geran dan sokongan daripada pelabur-pelabur utama.

Ia membolehkan mereka membangunkan prototaip untuk kereta solar jarak jauh pertama hanya dalam tempoh dua tahun.

Menurut Hoefsloot, memandangkan teknologi baharu mempunyai kos unit yang tinggi, pihaknya perlu bermula dengan pasaran eksklusif.

“Model-model seterusnya yang sedang dirancang untuk dibangunkan akan memiliki harga jualan yang jauh lebih rendah.

“Selain itu, model-model masa depan akan disediakan untuk kumpulan kenderaan berautonomi dan dikongsi, agar harga boleh dibahagikan antara kumpulan pengguna yang besar.

“Digabungkan dengan kos operasi kenderaan yang rendah, kami menyasarkan untuk menyediakan mobiliti premium demi harga yang rendah untuk setiap kilometer,” jelasnya.

Lightyear membangunkan kereta elektrik dengan reka bentuk cekap tenaga dan sel solar bersepadu.

Ini membolehkan pemandu memandu sehingga 20,0000 kilometer setahun di bawah cahaya matahari, bergantung kepada iklim.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, syarikat itu kini mempunyai lebih 100 pekerja, yang terdiri daripada gabungan bakat muda dan pengalaman dari industri automotif termasuk bekas pekerja Tesla dan Ferrari.

Selain itu, Lightyear turut membuka kemudahan pengeluarannya sendiri di Helmond, Belanda, dan dalam tempoh kurang dari dua tahun, syarikat berjaya mengumpul lebih 20 juta euro daripada tempahan, pelaburan serta geran.

Foto: Lightyear & PR Newswire