Lima acara rasmi terdekat batal akibat COVID-19

Kehidupan Syed Safri 21-Mei-2020
Sambutan Aidil Fitri rasmi negara dibatalkan © Arkadij Schell | Dreamstime.com

Lima sambutan perayaan rasmi kerajaan Malaysia tahun ini telah dibatalkan berikutan negara masih dilanda wabak koronavirus baru Covid-19.

Menurut Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan rasmi hari ini, pembatalan tersebut melibatkan sambutan seawal bulan ini, iaitu perayaan Hari Raya Aidil Fitri oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada tarikh 1 Syawal nanti.

Bagi tarikh Hari Raya Aidil Fitri tersebut, ia akan menurut pengumuman tarikh aidil fitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (dijangka 24 Mei). Berikutan itu, rumah-rumah terbuka oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet juga turut dibatalkan.

Seterusnya bagi bulan Ogos, perayaan Hari Pahlawan pada 12-14 Ogos telah dibatalkan. Ini diikuti dengan sambutan perayaan Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada 19-20 Ogos.

Bagi bulan Oktober, perayaan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada tarikh 29 Oktober dijangka akan turut dibatalkan.

Namun demikian, Zuki mengatakan setiap perubahan pada mana-mana acara dan upacara rasmi kerajaan akan diumumkan dan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Orang ramai terus disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi Hari Raya Aidilfitri pada hujung minggu ini, walaupun terdapat beberapa perkara yang telah dibenarkan oleh pihak berkuasa.