Lima aktiviti jual beli ini haram dan tidak sah dalam Islam!

Ekonomi Md Wa'iz
Md Wa'iz
Lima aktiviti jual beli ini haram dan tidak sah dalam Islam!
Lima aktiviti jual beli ini haram dan tidak sah dalam Islam! © Philipp Berezhnoy | Dreamstime.com

Tidak semua aktiviti jual beli itu dihalalkan walaupun memenuhi rukun jual beli. Ini kerana, ada perkara-perkara yang bukan sahaja haram untuk dijual beli, malah jual beli tersebut menjadi tidak sah.

Kami terangkan di sini antara jenis jual beli yang bukan sahaja haram hukumnya, tetapi juga tidak sah di sisi Islam.

Maksud aktiviti jual beli

Secara umumnya, aktiviti jual beli merujuk kepada sebarang pertukaran antara harta seseorang individu dengan individu yang lain melalui cara yang tertentu. Harta yang dijual beli pula mestilah harta yang mempunyai nilai.

Untuk memastikan sesuatu jual beli itu mencapai matlamatnya, maka ia perlulah memenuhi segala rukun jual beli.

Ada lima rukun jual beli yang perlu dipenuhi iaitu penjual, pembeli, barangan yang dijual, harga barangan serta sighah atau lafaz persetujuan.

Aktiviti jual beli yang haram dan tidak sah

Dalam aktiviti muamalat Islam, ada aktiviti jual beli yang bukan sahaja dilarang, tetapi juga aktiviti jual beli itu dihukumkan sebagai tidak sah atau terbatal. Antara jenis jual beli yang haram dan tidak sah ialah:

1. Menjual barangan yang haram yang membawa kepada maksiat

Antara jenis barangan yang haram dan boleh membawa kepada maksiat ialah seperti patung berhala yang menjadi sembahan, arak atau minuman yang memabukkan serta dadah.

Kesemua jenis barangan ini adalah barang-barang yang haram untuk diniagakan kerana sifatnya yang membawa keburukan dan menyebabkan kemaksiatan.

2. Jual beli daging dengan daging

Haramnya jual beli daging dengan daging adalah kerana sifat daging itu yang berbeza-beza bergantung kepada asal dan jenisnya. Namun, jika terdapat persamaan daripada segi kadar, tunai dan diperoleh pada waktu kontrak dipersetujui, maka ia boleh diniagakan.

3. Jual beli barang yang tidak sempurna hak milik

Jual beli seperti ini melibatkan penjualan barangan yang tidak sempurna milik seseorang penjual tersebut. Sebagai contoh, seseorang itu ingin menjual ikan di dalam laut atau sungai yang tidak ditangkapnya. Boleh jadi juga jika seseorang itu ingin menjual burung yang terbang bebas di udara.

Jual beli ini adalah haram dan tidak sah kerana burung dan ikan tersebut belum menjadi kepunyaan si penjual.

4. Jual beli bersyarat

Terdapat tiga syarat bagi jenis jual beli ini yang menghukumkannya menjadi haram dan tidak sah. Pertama, jika syarat itu bertujuan membatalkan tujuan utama aktiviti jualan. Sebagai contoh, barang yang dijual tidak boleh dikembalikan sekiranya terdapat kecacatan selepas ia dibeli.

Kedua, apabila penjual mensyaratkan satu akad lain selain akad jual beli tersebut. Sebagai contoh, seseorang meminta syarat agar dijual kereta milik individu lain sebagai syarat untuk menikahi ahli keluarganya.

Ketiga, membuat akad pada sesuatu yang belum pasti kejadiannya. Sebagai contoh, penjual menyatakan bahawa dia akan menjual keretanya jika dia jadi berpindah ke tempat lain. Akad ini terbatal kerana boleh jadi penjual itu tidak jadi berpindah dalam masa yang singkat.

Apabila penjual berpindah setelah jangka masa yang lama, kereta tersebut sudah menjadi usang dan buruk, tidak seperti sewaktu persetujuan dinyatakan di mana kereta masih dalam keadaan yang baik.

5. Menjual buah yang masih muda dan berada di pokok

Ini juga adalah antara jenis aktiviti jual beli yang tidak sah kerana ia melibatkan sesuatu yang belum pasti kejadiannya. Boleh jadi buah tersebut tidak masak sepenuhnya, rosak, gugur atau hilang sebelum tiba tempoh masaknya.