Lima bintang bolasepak Islam Liga Perdana Inggeris

Sukan Chan Abdullah 24-Apr-2020
Mohamed Salah dan Liverpool © Dave Mcnaught | Dreamstime.com

Sudah pasti ramai peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) ternanti-nanti tarikh keramat bagi liga tersebut dimulakan semula, setelah EPL ditangguhkan sehingga diberitahu kelak. Disebabkan virus COVID-19, semua perlawanan EPL terpaksa dihentikan dan baru-baru ini, pertemuan 20 kelab menegaskan semula niat untuk menghabiskan musim apabila masanya ‘selamat dan sesuai.’

Bagi mengembalikan sedikit rindu para pembaca kepada bola sepak EPL, artikel ini akan berkongsi sedikit cerita mengenai pemain-pemain bolasepak yang beragama Islam. Daripada sejumlah pemain Muslim yang sudah agak ramai pada masa ini, dikongsikan senarai lima bintang bolasepak beragama Islam yang beraksi di EPL.

Mohamed Salah

Pemain yang lebih dikenali sebagai Mo Salah ini adalah pemain kelahiran Mesir. Pemain ini beraksi bersama pasukan Liverpool sebagai pemain sayap menyerang. Sebelum bersama pasukan Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp, beliau pernah beraksi bersama pasukan Chelsea, Fiorentina dan Roma. Mo terkenal dengan kelincahan dan penyudah kaki kirinya yang berbisa.

Mo kebiasaannya akan sujud di atas padang sebagai tanda syukur setelah berjaya menjaringkan gol buat pasukannya. Sikapnya yang selalu tersenyum dan peramah membuatnya sangat disenangi. Mo telah memenangi berbagai anugerah penghargaan, termasuk di peringkat antarabangsa.

Secara individu, Mo telah memenangi anugerah Pemenang Kasut Emas Liga Perdana 2017-18 dan 2018-19, Pemain Terbaik Liga Perdana 2017-18, dan juga Pemain Terbaik Afrika 2017 dan 2018. Bersama Liverpool, beliau telah memenangi Liga Juara-Juara Eropah 2018-19 dan terkini, Piala Dunia Kelab 2019. Tanpa keraguan, Mo adalah pemain bola sepak Muslim terbaik dan paling dikenali di dunia buat masa ini.

Sadio Mane

Bintang kelahiran Senegal ini merupakan rakan sepasukan Mo Salah di Liverpool. Sadio Mane juga merupakan pemain sayap menyerang yang juga lincah dan berbisa. Gandingan mantap mereka berdua berjaya mengangkat Liverpool menjadi pasukan yang disegani semula.

Sadio adalah seorang yang agak pendiam, namun dikenali sebagai seorang yang suka merendah diri dan berhati mulia. Sadio banyak menyumbang hasil pendapatannya kepada mereka yang memerlukan. Malah, beliau banyak memberikan dana bagi pembangunan infrastruktur di tempat kelahiran asalnya.

Selain memenangi Kasut Emas Liga Perdana 2018-19 (bersama Mo Salah), Sadio juga telah memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika 2019 baru-baru ini. Beliau merupakan antara pemain terpenting Liverpool ketika memenangi Liga Juara-Juara Eropah 2018-19 dan juga Piala Dunia Kelab 2019.

N’golo Kante

Pemain kebangsaan Perancis ini merupakan pemain tengah bertahan yang penting bagi negara dan juga kelabnya, Chelsea. Sebelum menandatangani kontrak bersama Chelsea, N’golo beraksi bersama kelab Leicester di musim mereka memenangi kejuaraan EPL 2015-16. Beliau juga telah berjaya memenangi kejuaraan liga bersama Chelsea pada musim pertamanya bersama kelab London itu. N’golo adalah Pemain Terbaik Liga Perdana 2016-17.

Pencapaian beliau di peringkat antarabangsa juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya memenangi kejohanan Piala Dunia 2018 bersama Perancis. Sikap N’golo yang selalu tersenyum sangat disukai semua. Walaupun sentiasa tersenyum, beliau mempunyai stamina yang menakjubkan. Tidak ramai pemain bolasepak mampu mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan seperti beliau.

Selain dihormati pihak lawan di atas padang, N’golo juga sangat terkenal dengan sikap tidak boros dan bermewah-mewah secara berlebihan di luar padang. Ketika ramai pemain bolasepak lain memiliki kereta mewah baharu, beliau hanya membeli sebuah kereta mini cooper terpakai.

Riyad Mahrez

Pemain pasukan Algeria kelahiran Perancis ini memang antara pemain beragama Islam yang terkenal. Sebagai pemain sayap menyerang, Mahrez mampu beraksi di pelbagai posisi tengah dan menyerang, dan beliau adalah pemain Algeria pertama dan satu-satunya yang berjaya menjaringkan hatrik di EPL.

Riyad, bersama N’golo telah membantu Leicester mencapai kemenangan EPL yang paling tidak dijangka dalam sejarah. Ketika ini, Riyad beraksi bersama pasukan Manchester City. Beliau juga sudah berjaya memenangi kejuaraan EPL bersama Manchester City di bawah pengurus Pep Guardola. Pada tahun 2016,  Riyad dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika.

Moussa Sissoko

Pemain tengah kotak ke kotak pasukan Perancis ini kini bermain bersama pasukan Tottenham Hotspurs di bawah kendalian Jose Mourinho. Sebelum ini, Moussa bermain bersama pasukan Newcastle. Sebagai seorang pemain tengah yang serba boleh, permainannya yang keras dan berdisplin memang sangat digemari oleh jurulatih beliau sekarang.

Moussa sering terpilih dalam kesebelasan utama pasukannya. Secara individu dan berpasukan, beliau telah tersenarai di dalam Skuad Liga Juara-Juara Eropah 2018-19 dan dengan Tottenham, meraih anugerah Naib Juara Liga Juara-Juara Eropah 2018-19. Beliau juga turut memenangi anugerah yang baru diperkenalkan oleh Tottenham, iaitu Pemain Terbaik oleh Pemain Lagenda 2019.