Lima cara merapatkan hubungan anak dan ibu bapa

dreamstime_s_148509366
Lima cara merapatkan hubungan anak dan ibu bapa © Odua | Dreamstime.com

Ada sesetengah daripada kita yang mungkin tidak begitu rapat dengan anak masing-masing di rumah. Jangan risau, kerana hubungan antara anak dan ibu bapa dalam sesebuah keluarga ini boleh diperbaiki. Bagaimana caranya?

Lima cara paling mudah rapatkan hubungan keluarga

1. Bercuti bersama

Anda boleh mula merancang cuti anda dan pergi bercuti bersama anak-anak anda. Berbincang bersama anak-anak anda mengenai destinasi percutian yang ingin dituju.

Ini adalah kerana mereka juga dapat merasakan bahawa mereka turut memainkan peranan dalam merancang percutian keluarga. Tidak perlu ke luar negara kerana masih banyak lagi lokasi menarik di dalam negara yang boleh anda kunjungi.

2. Luangkan masa bersama pada hujung minggu

Daripada hanya menonton televisyen atau tidur di rumah, adalah lebih baik untuk anda mengajak anak-anak anda pergi keluar rumah dan melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat.

Anda boleh mengajak mereka pergi berkelah di tepi pantai, mendaki gunung, berbasikal atau berkebun di halaman rumah. Cara ini boleh mengeratkan hubungan ahli keluarga dan membuatkan seluruh ahli keluarga menjadi lebih aktif.

3. Bermain permainan bersama anak-anak

Antara cara yang paling mudah untuk anda merapatkan hubungan bersama anak anda di rumah ialah melalui permainan. Pilih permainan yang ingin dimainkan seperti Scrabble, Saidina, kad UNO atau Monopoly, dan bermain bersama rakan anda.

Anda pasti akan bergelak ketawa bersama anak-anak anda ketika bermain yang sekaligus boleh merapatkan hubungan bersama mereka.

4. Buat jamuan makan

Jika terdapat sesuatu peristiwa yang menarik berkenaan anak anda, anda boleh mengusahakan untuk membuat jamuan kecil-kecilan dan menjemput rakan-rakan mereka ke rumah. Tidak semestinya anda perlu menunggu sambutan hari lahir anak anda semata-mata.

Anda juga boleh melakukan jamuan bagi peristiwa-peristiwa signifikan yang lain. Sebagai contoh, jika anak anda mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan atau memenangi sesuatu pertandingan.

5. Sentiasa berbincang jika mempunyai masalah

Ada masanya anak anda juga mempunyai masalahnya yang tersendiri. Jangan sesekali memarahi mereka atau memerli mereka pada ketika mereka mempunyai masalah atau dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

Cara ini hanya akan memburukkan keadaan sedia ada. Anda perlu memberikan ruang kepada mereka untuk menenangkan diri dan menawarkan diri sekiranya mereka ada sesuatu yang ingin diluahkan. Cara ini akan menunjukkan bahawa anda adalah ibu bapa yang lebih prihatin terhadap anak-anak mereka.

Kaedah yang betul, fahami perspektif anak

Merapatkan hubungan antara anak dan ibu bapa sebenarnya bukanlah satu perkara yang susah. Apa yang perlu anda lakukan ialah hanyalah kaedah yang betul dan lebih memahami perspektif anak-anak anda.

Lakukan lima perkara di atas supaya anda dan anak-anak anda akan menjadi lebih rapat antara satu sama lain.