Lima jenis makanan untuk Sahur ini boleh bantu anda bertenaga ketika berpuasa

Makanan Sihat 29 Apr 2021 Md Wa'iz
Md Wa'iz
Lima jenis makanan untuk Sahur ini boleh bantu anda bertenaga ketika berpuasa
Lima jenis makanan untuk Sahur ini boleh bantu anda bertenaga ketika berpuasa © Davidcs12 | Dreamstime.com

Ada yang gemar mengambil makanan yang ringan sewaktu bersahur. Ada juga yang mahukan makanan berat seperti nasi supaya lebih kenyang.

Untuk pengetahuan anda, ada beberapa jenis makanan untuk sahur yang sangat sesuai untuk dimakan.

Kenapa perlu pilih makanan untuk sahur yang sesuai?

Sahur adalah waktu disunatkan untuk makan sebelum kita mula berpuasa pada hari tersebut. Tujuan sahur tidak lain adalah untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW selain memastikan kita mendapat bekalan tenaga yang mencukupi.

Makan pada waktu sahur ini amat penting agar tubuh badan kita tidak kehabisan tenaga dengan cepat ketika berpuasa selama berbelas jam. Oleh sebab itu, pemilihan makanan untuk sahur amatlah penting supaya perut kenyang lebih lama dan mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi.

Kami kongsikan beberapa jenis makanan untuk sahur yang sesuai sepanjang Ramadan kali ini.

1. Buah kurma

Salah satu superfood yang sangat baik untuk dimakan ketika sahur ialah buah kurma. Ini kerana buah kurma mempunyai vitamin, serat pemakanan, kalium serta mineral yang sangat baik untuk keperluan tubuh sepanjang anda berpuasa.

Buah kurma boleh memberikan tubuh badan anda dengan tenaga segera. Kurma juga adalah pilihan makanan untuk sahur yang terbaik sekiranya anda sudah terlewat untuk bersahur.

2. Bijirin oat

Bijirin oat atau mil oat adalah antara hidangan sahur yang paling cepat dan mudah untuk disediakan. Oat mengandungi serat dan kaya dengan vitamin yang sangat baik untuk tubuh manusia. Bijirin oat juga amat sesuai bagi pesakit diabetes memandangkan ia adalah jenis makanan yang rendah nilai indeks glisemik (GI).

Untuk menjadikan hidangan oat anda lebih bernutrisi, campurkan oat bersama susu dan juga potongan buah pisang.

3. Telur

Walaupun telur mungkin hanyalah sejenis hidangan yang sederhana, namun ia sangat mengenyangkan. Ini kerana telur amat tinggi dengan kandungan protein yang membuatkan perut anda kenyang dalam tempoh yang lebih lama.

Pelbagaikan hidangan telur anda seperti membuat sandwic telur, telur dadar dan telur hancur. Untuk lebih mengenyangkan, makanlah telur bersama roti atau segenggam nasi sahaja.

4. Yogurt

Bagi yang mencari makanan untuk sahur yang ringkas dan mudah, anda juga boleh mencuba hidangan yogurt. Yogurt adalah antara jenis makanan yang kaya protein dan kalsium tetapi rendah kalori. Jika anda ingin membeli yogurt untuk bersahur, cari pilihan yogurt yang kurang kandungan gula.

Untuk menjadikan yogurt anda lebih enak, anda boleh menambahkan beberapa topping lain seperti hirisan buah-buahan atau kekacang.

5. Hidangan ayam

Sumber protein seperti ayam sangat membantu anda untuk berasa lebih kenyang. Oleh itu, pengambilan ayam sewaktu sahur adalah antara pilihan yang baik. Namun, elakkan mengambil ayam goreng kerana makanan bergoreng hanya akan membuatkan anda lebih cepat dahaga.

Cuba masak hidangan ayam dengan cara yang lebih sihat seperti sup ayam, ayam panggang atau ayam stim. Anda boleh hidangkan bersama nasi jika mahu.

Jangan abaikan kepentingan makanan untuk sahur

Kita mungkin mengambil pelbagai jenis makanan ketika sahur tanpa memikirkan kesannya sepanjang hari. Ada makanan yang boleh membuatkan anda cepat dahaga seperti makanan yang tinggi kandungan garam.

Oleh sebab itu, anda perlu mengetahui jenis makanan untuk sahur yang sesuai agar anda dapat berpuasa tanpa sebarang masalah.