Lima jenis makanan yang terbaik untuk usus dan penghadaman 

Makanan Sihat Md Wa'iz
Md Wa'iz
Lima jenis makanan yang terbaik untuk usus dan penghadaman 
Lima jenis makanan yang terbaik untuk usus dan penghadaman  © Ekaterina Sinenkova | Dreamstime.com

Kesihatan usus amat berkait rapat dengan proses pencernaan dan penghadaman. Ia juga berkait rapat dengan penyakit seperti cirit-birit dan juga sembelit.

Bagi mengurangkan risiko anda mendapat keadaan penyakit ini, ambil lima jenis makanan terbaik untuk usus ini.

Lima jenis makanan yang terbaik untuk usus dan penghadaman 

1. Kekacang

Fungsi serat adalah untuk mengawal kadar pergerakan makanan ketika ia melalui usus. Ia mempengaruhi keadaan sama ada anda membuang air dengan keadaan normal, mengalami cirit-birit atau sembelit.

Untuk memastikan anda mempunyai pergerakan usus yang normal, anda boleh banyakkan pengambilan kekacang. Antara jenis kekacang yang disarankan ialah seperti kacang kuda, kacang pis dan juga kacang soya.

2. Buah beri

Beri adalah sumber serat yang baik, termasuk serat larut. Ia juga merupakan antara makanan yang tinggi kandungan serat. Satu cawan buah beri mengandungi sekitar 8 gram serat. Antara jenis beri yang sangat baik untuk kesihatan usus anda ialah seperti raspberi dan beri hitam.

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan serat larut melambatkan pergerakan makanan melalui saluran pencernaan badan. Ini menyebabkan rasa lapar berkurang dan rasa kenyang pula meningkat.

3. Yogurt

Selain daripada jenis-jenis makanan tinggi serat, anda juga boleh mengamalkan pemakanan berasaskan makanan yang ditapai atau difermentasi. Makanan yang ditapai mengandungi kandungan bakteria baik yang menggalakkan kesihatan usus anda.

Antara fungsi bakteria baik ini ialah melawan sebarang jangkitan yang boleh berlaku akibat daripada makanan yang kita makan. Salah satu daripada jenis makanan ini ialah yogurt. Yogurt adalah produk hasilan tenusu yang dihasilkan daripada susu yang diperam atau ditapai.

Bakteria baik dalam yogurt juga membantu menguraikan gula dalam makanan, sekaligus menjadikannya lebih mudah dihadam. Seeloknya anda mengambil yogurt biasa, kerana kebanyakan yogurt berperisa tinggi kandungan gula.

4. Kimchi

Kimchi adalah makanan tradisional bagi orang-orang Korea. Ia adalah sejenis hidangan sayur yang dijeruk. Biasanya ia diperbuat daripada jenis kubis Napa bersama-sama campuran sayuran lain dan juga beberapa perasa semula jadi.

Kimchi juga merupakan salah satu makanan yang mengandungi jumlah bakteria baik yang tinggi. Selain itu, ia juga kaya dengan serat dan juga beberapa jenis vitamin lain.

5. Bijirin penuh

Bijirin penuh mengandungi lebih banyak kandungan serat berbanding bijirin yang telah diproses seperti pasta dan roti putih. Malah, bijirin juga mengandungi lebih banyak asid lemak omega-3.

Karbohidrat yang tidak boleh dicerna daripada bijirin penuh akan diuraikan oleh mikroorganisme dalam usus besar. Proses penguraian ini pula akan menggalakkan pertumbuhan lebih banyak bakteria baik dalam usus anda.

Selain itu, bijirin penuh juga akan menjadikan anda berasa kenyang dalam tempoh yang lebih lama.

Makanan-makanan yang dinyatakan di atas ini adalah antara beberapa jenis makanan yang baik untuk usus anda. Terdapat juga beberapa jenis makanan lain, tetapi lima jenis makanan ini adalah antara yang terbaik.

Jika anda kerap mengalami masalah seperti sembelit atau cirit-birit, kerapkan makan lima jenis makanan ini dalam diet harian anda.