Lima kesilapan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak

Ruangan Kanak-kanak Abi Aasim 14-Ogo-2020
Kesilapan yang dilakukan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak © Mohd Hafiez Mohd Razali | Dreamstime.com

Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik buat anak-anak mereka. Namun, dalam usaha ibu bapa mendidik anak-anak, tanpa sedar ada kesilapan yang seringkali dilakukan. Berikut dikongsikan lima kesilapan yang sering dilakukan oleh para ibu bapa ketika membesarkan anak-anak samaada sedar ataupun tidak.

Kurang memberikan perhatian kepada anak-anak

Tuntutan kos sara hidup yang semakin meningkat telah memaksa setiap orang melakukan dua hingga tiga kerja sehari bagi memastikan kelangsungan hidup sekeluarga terjaga. Namun, kesibukan ibu bapa mencari rezeki tidak boleh dijadikan sebagai alasan kurangnya masa bersama anak-anak.

Anak-anak yang semakin membesar memerlukan perhatian dan belaian yang lebih daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa boleh mengambil pendekatan mudah dengan seringkali bertanya khabar berkenaan aktiviti harian anak-anak. Cukup jika dapat meluangkan masa dalam 10 hingga 15 minit untuk berbual seketika bersama anak-anak. Dengan ini, anak-anak akan lebih rasa diberi perhatian.

Kerap mengkritik anak-anak

Tidak salah jika ibu bapa menegur anak-anak, namun biarlah berpada-pada. Elakkan daripada kerap memberi kritikan yang tidak membina terhadap anak-anak. Mengkritik anak-anak secara berlebihan menjadikan mereka berasa kurang selesa apabila berhadapan dengan kita dan boleh membuatkan mereka berasa rendah diri.

Hal ini boleh mengakibatkan anak-anak lebih gemar meluangkan masa di luar rumah bersama kawan-kawan berbanding di rumah. Boleh terjadi, anak-anak akan lebih mudah memberontak dan tidak mendengar kata. Umpama masuk telinga kiri keluar telinga apabila dimarahi.

Kurang mesra dengan anak-anak

Dalam tegas biarlah terselit kelembutan. Maksudnya di sini, ibu bapa perlu bijak megawal emosi mengikut kepada keadaan. Jika anak-anak melakukan kesalahan, elakkan daripada terus menghukum tanpa bertanya terlebih dahulu.

Luangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Insya-Allah, apabila anak-anak berasa selesa dengan anda sebagai ibu bapa, mereka akan menceritakan segala-galanya kepada anda.

Tidak menjadi pendengar yang baik

Walaupun anak-anak masih kecil, ibu bapa tidak boleh dengan secara sengaja mengabaikan apa yang mereka katakan. Sekiranya anak-anak membuka mulut untuk bercerita, ibu bapa perlu mendengar dengan teliti dan memberi maklum balas dengan apa yang diceritakan. Jangan biarkan anak-anak merasa kesunyian tanpa ada sesiapa di sekeliling mereka.

Kesannya, apabila anak-anak semakin meningkat dewasa mereka ini lebih selesa menyimpan rasa dan perasaan sendiri daripada bercerita kepada ibu bapa mereka kerana semasa kecilnya ibu bapa gagal menjadi pendengar yang baik.

Merendahkan kebolehan anak

Setiap anak mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Jangan sesekali merendahkan kebolehan anak-anak semata-mata inginkan mereka memenuhi kemahuan kita sebagai ibu bapa. Sebaiknya, ibu bapa perlu memainkan peranan yang l dengan mendorong kebolehan yang ada pada anak-anak.

Contohnya, jika anak-anak mempunyai kebolehan membuat kek, maka ibu bapa boleh menghantar mereka ke kelas ataupun kursus membuat kek. Pasti anak-anak akan lebih gembira kerana kebolehan mereka dapat dicungkil oleh ibu bapa mereka sendiri.

Semoga kita dapat mengelakkan lima kesilapan ini sewaktu membesarkan anak-anak. Anak-anak ibarat kain putih yang putih bersih. Kita sebagai ibu bapa haruslah mencorakkan mereka selaras dengan sunah Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.