Lima makanan untuk kawal tekanan darah, elak darah tinggi  

Makanan Sihat Md Wa'iz
Md Wa'iz
Lima makanan untuk kawal tekanan darah, elak darah tinggi  
Lima makanan untuk kawal tekanan darah, elak darah tinggi © Mohammed Anwarul Kabir Choudhury | Dreamstime.com

Bagi mereka yang sudah disahkan mempunyai tekanan darah tinggi, doktor pasti menyarankan anda untuk melakukan beberapa perubahan dalam hidup. Ini termasuklah perubahan gaya hidup dan pemakanan anda.

Untuk soal makanan, kami ada beberapa cadangan jenis makanan yang baik untuk mengawal tekanan darah anda.

Ini makanan untuk kawal tekanan darah, elak darah tinggi  

Kesemuanya telah terbukti melalui kajian saintifik. Lihat senarai makanan di bawah ini.

Ikan salmon dan ikan berlemak

Ikan berlemak seperti ikan salmon sebenarnya amat kaya dengan omega-3. Omega-3 ini telah terbukti amat baik untuk kesihatan jantung manusia. Selain itu, omega-3 juga boleh membantu mengawal tekanan darah anda dengan mengurangkan keradangan yang berlaku.

Kajian anda menunjukkan hubungan antara pengambilan ikan berlemak dan juga penurunan kadar tekanan darah pada tubuh. Bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli ikan salmon, anda boleh mendapatkan jenis ikan lain seperti ikan tuna dan ikan tenggiri.

Kekacang

Kekacang merupakan antara jenis makanan yang kaca dengan kandungan serat dan beberapa mineral lain iaitu kalium dan magnesium. Mineral seperti kalium dan magnesium ini sebenarnya dapat membantu mengawal tekanan darah anda.

Kajian ada menunjukkan bahawa memakan kacang boleh membantu mengawal tekanan darah yang dialami.

Lobak merah

Lobak merah mengandungi sebatian fenolik yang membantu menenangkan salur darah selain mengurangkan keradangan. Hasilnya, ia boleh membantu menurunkan tekanan darah ke paras yang normal.

Ada kajian menyatakan, lobak merah yang dimakan mentah lebih berkesan dalam mengawal tekanan darah berbanding lobak merah yang telah dimasak.

Buah tomato

Buah tomato juga kaya dengan kandungan kalium yang sangat baik dalam mengawal tekanan darah. Tomato juga mengandungi likopena (lycopene) iaitu sejenis nutrien atau pigmen yang menyebabkan warna merah pada buah tomato.

Likopena ini diakui memberikan kesan yang baik terhadap kesihatan jantung. Ia boleh membantu mengurangkan faktor risiko penyakit jantung seperti tekanan darah tinggi.

Sayur brokoli

Sayuran hijau yang satu ini sangat kaya dengan kandungan antioksidan yang boleh membantu menurunkan tekanan darah anda. Ia berfungsi meningkatkan fungsi salur darah selain meningkatkan paras oksida nitrik dalam tubuh anda.

Oksida nitrik adalah sebatian dalam badan yang menyebabkan saluran darah melebar. Selain itu, oksida nitrik juga merangsang pembebasan hormon tertentu, seperti insulin dan hormon pertumbuhan manusia.

Terus amalkan gaya hidup yang sihat

Selain daripada lima makanan yang dinyatakan ini, ada beberapa lagi makanan lain yang sesuai untuk mengawal tekanan darah. Ini termasuklah buah pisang, yogurt Greek, biji labu, sayur bayam dan kacang pistachio.

Anda juga disarankan untuk mengubah gaya hidup anda kearah gaya hidup yang lebih aktif bagi mengawal tekanan darah anda. Banyakkan bersenam, berhenti merokok dan amalkan pemakanan yang sihat setiap hari.

Usaha hanya menjadi sia-sia jika anda memakan makanan diatas tetapi masih lagi merokok atau tidak bersenam.