Lima tuduhan terhadap Nabi Nuh a.s menurut al-Quran

Al-Quran Aimy Azhary
Aimy Azhary
Lima tuduhan terhadap Nabi Nuh a.s menurut al-Quran
Lima tuduhan terhadap Nabi Nuh a.s menurut al-Quran © Gurkan Ozturk | Dreamstime.com

Al- Quran merekodkan kisah ketabahan Nabi Nuh a.s berhadapan dengan kaumnya yang sesat dalam 10 surah. Jarak waktu antara Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s selama 10 kurun melahirkan masyarakat yang rosak dan jauh daripada panduan Ilahi.

Artikel ini akan memfokuskan tentang lima tuduhan terhadap Nabi Nuh a.s menurut Al-Quran.

Tuduhan-tuduhan terhadap Nabi Nuh a.s

1. “Nuh itu sesat, penipu dan gila”

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Ketua-ketua dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami melihatmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata.”

(Surah Al-A’raf, 7:60)

Al-Mala’ (الملأ) merupakan sebuah kelompok berpengaruh yang mempunyai status sosial yang tinggi di sisi masyarakat ketika itu. Pandangan mereka ini sering dibenarkan oleh masyarakat sekeliling, walaupun apa yang disampaikan berunsur hasutan dan penipuan.

Tuduhan ini juga nerupakan fenomena biasa yang berlaku kepada para anbia termasuk Nabi Muhammad SAW. Sepertimana baginda, Nabi Nuh a.s juga dianggap penipu walaupun masyarakat telah mengakui keperibadian mulia baginda sejak sebelum diutus menjadi rasul lagi.

Penipu, gila dan sesat sering menjadi ratib musuh agama kepada para pendakwah kerana fitrah manusia yang berpaksikan kepada kepercayaan. Tuduhan seperti ini mampu merobohkan paksi tersebut lalu membawa kepada hilangnya pertimbangan akal yang matang untuk benar-benar menilai kebenaran.

2. “Nuh hanyalah orang biasa macam kita”

Allah SWT berfirman:

“Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami…”

(Surah Hud, 11:27)

Tuduhan ini merupakan sebuah falasi supaya masyarakat berkalih muka dari melihat kejujuran mesej dakwah Nabi Nuh a.s. Kedegilan dan kebuntuan hujah menjadikan golongan Al-Mala’ sanggup melontarkan sentimen-sentimen picisan demi meraih pengaruh.

Sedangkan Islam mengajar kita bahawasanya apa-apa bentuk teguran hendaklah diambil berat walaupun datang daripada orang biasa, apatah lagi daripada seorang nabi.

3. “Orang bodoh dan lemah sahaja yang terpikat dengan seruan Nuh”

“…dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat.”

(Surah Hud, 11:27)

Tidak cukup dengan serangan ke atas Nabi Nuh a.s, mereka menyerang pengikut baginda dan membina stigma buruk supaya masyarakat memandang rendah akan keperibadian pengikut-pengikutnya.

Strategi keji ini dilaksanakan agar pengikut baginda yang dianggap sebagai duta dakwah turut terkesan sekali gus membantutkan seruan tauhid kepada Allah SWT.

4. “Nuh itu macam lah tahu semua benda”

“Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat…”

(Surah Hud, 11:31)

Ayat ini merupakan respon Nabi Nuh a.s kepada kaumnya yang bersentimen buruk dengan Baginda. Baginda dituduh kononnya berlagak seperti malaikat sehingga tahu semua perkara termasuk perkara ghaib.

5. “Nuh sengaja mempergunakan sokongan kalian”

Firman Allah SWT:

“Dia (Nuh) hanya ingin mendapatkan kelebihan daripada kamu,”

(Surah  al-Mu’minun, 23:24)

Golongan al-Mala’ juga menghasut masyarakat supaya tidak mengikuti ajaran Baginda Nabi Nuh a.s. Mereka cuba menanam idea jelek bahawasanya Nabi Nuh bakal mempergunakan sokongan masyarakat demi keuntungan peribadi baginda.

Akhirnya, tidak ramai yang beriman dan teguh bersama Nabi Nuh a.s, bahkan majoriti besar kaumnya mengikut Al- Mala’. Lebih berat lagi, isteri dan anak baginda turun menentang dakwah Baginda yang suci itu.

Ibrah buat pendakwah

Ayat-ayat di atas tersisip kemas dalam al-Quran supaya manusia kekal mengambil pedoman. Ia merupakan sebuah isyarat bahawasanya laras bahasa dan bentuk penentangan tersebut akan berulang terutama kepada para pendakwah dan pembela agama Allah SWT.

Secara kesimpulan, kecekalan yang ditunjukkan oleh Nabi Nuh a.s dalam menghadapi kedegilan kaumnya merupakan gambaran menifestasi syukur yang sebenar.

Kesyukuran itu hanya akan terbukti apabila kita mampu bersabar dan tabah ketika melaksanakan sesuatu perintah Allah Taala walaupun berat untuk ditanggung.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.