Limau vs Lemon. Apa Perbezaan Dan Persamaannya?

Secara umumnya, buah-buahan sitrus adalah sekumpulan buah yang sangat luas penanaman dan pengeluarannya.

Sebanyak 30% buah sitrus diproses untuk menghasilkan pelbagai jenis produk, terutamanya jus.

Antara contoh buah-buahan sitrus yang popular adalah strawberi, kiwi, belimbing, oren, sitron, limau dan lemon.

Kesemua buah sitrus ini dikatakan mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi dan pelbagai nutrisi yang agak serupa.

 

Buah Limau vs Buah Lemon

Persoalannya, apakah yang membezakan buah-buahan tersebut?

Mungkin masih ramai individu yang belum arif mengenai perbezaan buah-buahan sitrus ini terutamanya buah limau dengan buah lemon.

Meskipun kedua-duanya mempunyai fungsi yang hampir sama dalam kebanyakan makanan seperti sebagai penambah perisa dalam teh o dan masakan-masakan lain, ia sebenarnya mempunyai beberapa perbezaan.

Limau adalah sejenis buah sitrus yang mempunyai pelbagai spesis seperti limau nipis, limau kasturi, limau gedang dan berbagai lagi.

Manakala lemon pula tidak mempunyai banyak jenis, selain merupakan sejenis natif dari kawasan Asia. Walaupun begitu, kedua-duanya adalah berasal dari keluarga sitrus yang sama. Selain itu, dari segi luarannya, ia memang agak jauh berbeza dari segi bentuk, warna dan teksturnya.

Manakala dari segi kandungan nutrisi, kedua-dua buah sitrus ini sebenarnya memiliki kandungan nutrisi yang lebih kurang sama.

Namun dari segi kuantiti kandungan, mungkin terdapat sedikit perbezaan bagi kandungan kalori, karbohidrat, potasium, vitamin B6 dan vitamin B9, manakala kedua-duanya adalah sama sahaja bagi kandungan serat, lemak, protein dan zat besi.

Dan bagi vitamin C pula, lemon mengandungi vitamin C yang lebih tinggi berbanding limau.

 

Fakta Menarik Mengenai Buah Limau

  1. Sebiji buah limau boleh menyediakan 32% vitamin C yang diperlukan dalam masa satu hari.
  2. Nutrisi yang terdapat di dalamnya boleh menggalakkan kesihatan kulit dan jantung selain mampu membantu mengurangkan risiko asma.
  3. Jusnya boleh dibuat bahan penambah perasa minuman serta pencuci pinggan mangkuk.
  4. Sebelum menggunakannya, pastikan anda membasuh kulit luarnya terlebih dahulu.

 

Fakta Menarik Mengenai Buah Lemon

  1. Mempunyai kandungan vitamin C yang sangat tinggi selain bersifat antiokasidan.
  2. Disebabkan itu, ia mampu menghasilkan kolagen yang bagus untuk kesihatan kulit selain mampu membantu mencegah kanser.
  3. Jusnya boleh digunakan sebagai bahan penambah perasa minuman, salad dan pelbagai pencuci mulut.
  4. Sebelum menggunakannya, pastikan anda membasuh kulit luarnya terlebih dahulu.

 

Manfaat Terhadap Kesihatan

Kedua-dua buah sitrus ini mempunyai kandungan antioksida, vitamin dan mineral yang sangat tinggi, yang menjadikannya amat penting untuk kesihatan.

Berikut merupakan manfaat buah-buah sitrus ini terhadap kesihatan individu:

1. Membantu menguatkan imuniti

Kedua-dua buah sitrus ini kaya dengan kandungan vitamin C, yang turut popular dengan nama asid askorbik. Ia mampu membantu menguatkan sistem imun anda. Vitamin yang sangat kritikal ini mampu merangsang penghasilan sel darah putih yang merupakan lapisan pertahanan yang pertama buat tubuh badan apabila diserang oleh apa-apa jenis jangkitan atau penyakit.

2. Membantu melancarkan penyembuhan

Seperti yang diketahui, vitamin C yang terdapat dalam kedua-dua buah limau dan lemon memainkan peranan yang sangat kritikal dalam penghasilan kolagen. Ia sangat diperlukan untuk pertumbuhan dan pembangunan otot, sel kulit, tisu serta tulang pada tubuh badan kita. Tanpanya, tahap penyembuhan penyakit atau jangkitan mahupun kecederaan akan menjadi sedikit perlahan.

3. Membantu membaikpulihkan sistem penghadaman

Menurut Dr. Sherry Tanumihardjo dari Universiti Wisconsin-Madison, kedua-dua buah sitrus ini juga sebenarnya merupakan sumber serat yang bagus. Menerusi kajiannya lagi, sifat buah-buah sitrus yang kaya serat ini adalah sangat baik untuk sistem penghadaman kerana ia dapat melegakan sembelit, menyingkirkan gas dan angin di dalam perut.

4. Membantu melancarkan pengaliran darah

Kedua-dua buah limau dan lemon mengandungi zat besi yang sangat tinggi, yang merupakan elemen penting dalam hemoglobin. Tanpa paras zat besi yang betul, individu itu mungkin akan mengalami anemia. Simptomnya anemia adalah lemah, letih, keliru dan sukar untuk tidur.

5. Membantu mengurangkan berat badan

Hampir kesemua buah sitrus mengandungi kandungan serat yang sangat tinggi dan kalorinya yang rendah adalah sangat sesuai untuk individu yang sedang dalam proses menurunkan berat badan. Sama ada ia digunakan sebagai bahan penambah perasa makanan atau minuman, ia sudah pasti boleh membantu mengurangkan berat badan anda.

6. Aktiviti antioksidan

Buah sitrus mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi, di samping penambahan vitamin C, yang boleh memberi kesan kepada radikal bebas. Menurut beberapa kajian yang lepas, buah-buahan ini mampu merendahkan tahap stres oksidatif sekali gus mengurangkan risiko penyakit yang kronik seperti kanser.

Jadi, yang mana satu menjadi pilihan anda? Limau atau lemon?

Terpulang kepada anda untuk memilihnya.

 

Sumber: Hello Doktor

Foto: Aleksandr Slobodianyk, Daria Shevtsova, Julia Zolotova, Lisa Fotios, Marco Antonio Victorino, Mariel Matute, Quang Nguyen Vinh, Pixabay (Pexels)