Liza Hanim, Menjejak Impian

Liza Hanim, satu nama yang cukup versatil dalam industri hiburan tanah air. Sebagai seorang penyanyi, figura yang bakal menginjak ke usia 40 tahun ini memiliki vokal yang cukup hebat. Tidak perlu dipersoalkan lagi. Jika tidak, mana mungkin dia mampu berdiri sebaris dengan penyanyi-penyanyi hebat di era 2000-an seperti Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Jaclyn Victor dan Dato’ Siti Nurhaliza.

Antara lagu-lagu nyanyian yang popular adalah ‘Siapa Sangka Siapa Menduga,’ ‘Gelisah Mimpi,’ ‘Getaran Cinta Dijiwa’, ‘Cintailah Aku Sepenuh Jiwa’ dan ‘Kuidamkan Rindu.’ Ketika namanya menjadi bualan ramai, Liza yang mula dikenali setelah bergelar naib johan bagi pertandingan Golden Teen Search pada tahun 1996 ini tiba-tiba menghilangkan diri dari radar seni. Bukan kerana terpaksa atau kecewa, namun Liza melakukan ‘pengorbanan’ demi keluarga tercinta.

Kini, Liza Hanim sudah benar-benar bersedia untuk menjejak kembali impian yang telah ditinggalkan hampir 10 tahun. Biarpun permainan industri tidak seperti dulu, Liza yakin dengan keazaman dan bantuan pihak pengurusannya Laugh Out Loud (LOL) Entertainment, dia mampu terbang lebih tinggi.

Terpilih sebagai Wajah Salam pada minggu ini, Liza Hanim berbesar hati berkongsi tentang perancangan kariernya seninya. Malah, penyanyi ini juga tidak lokek bercerita tentang detik-detik sukar dalam kehidupan peribadinya sebagai seorang ibu yang perlu menguruskan lima orang anak yang masih memerlukan perhatian.

 

Konsert dan single terbaru

Memulakan bicara, Liza Hanim teruja berkongsi tentang penglibatan dalam National Symphony Orchestra Epic Screen Themes in Concert yang akan berlangsung pada 1 dan 2 November ini. Jelas Liza, dia menggangap konsert ini sebagai salah satu persembahan terbesar buat dirinya pada tahun ini.

“Saya memang teruja dengan konsert ini. Biarpun ia bukan konsert saya sendiri, tetapi konsert ini punya kelainan dan kekuatan sendiri. Mereka yang terlibat dalam konsert ini akan menyanyikan lagu-lagu yang menjadi runut bunyi (soundtrack) filem atau drama rantaian di slot-slot televisyen tempatan.

Saya sendiri akan menyanyikan tiga buah lagu, di mana salah satu daripadanya merupakan lagu duet bersama Sean Ghazi. Selepas 11 tahun kami tidak berkerjasama, gandingan ini merupakan satu peluang yang sangat-sangat saya nantikan. Saya berharap chemistry kami masih ada dan kami boleh mencipta magik pada malam persembahan itu nanti,” ujar Liza yang akan menyampaikan lagu ‘Gelora’ bersama Sean nanti.

Tambah Liza lagi, untuk lagu solo, dia akan menyanyikan lagu popular ‘Merawat Luka’ yang pernah menjadi lagu tema untuk drama rantaian ‘Natasha’ yang dibintangi oleh Fasha Sandha. Sementara satu lagi lagu merupakan runut bunyi untuk filem Puteri Gunung Ledang berjudul, ‘Asmaradana.’

“Apabila diberitahu saya perlu menyampaikan lagu ‘Asmaradana’, saya berasa agak bimbang kerana lagu ini cukup besar dan perlu penghayatan yang baik. Ini adalah cabaran untuk saya kerana lagu ‘Asmaradana’ ini bukan hanya berkaitan vokal tetapi persembahan secara keseluruhan. Saya kena mencipta ‘Asmaradana’ dalam versi saya sendiri.

Mungkin bagi sesetengah penyanyi, lagu ini mudah untuk disampaikan, tetapi tidak untuk saya yang lebih sinonim dengan lagu-lagu berentak balada. Bagaimanapun, sebagai seorang penyanyi, saya perlu mencari formula terbaik bagi memastikan persembahan itu nanti boleh menggembirakan penonton dan juga pihak penganjur,” ujar Liza yang dikhabarkan bertemu dengan penyanyi asal ‘Asmaradana’, Puan Sri Tiara Jacquelina untuk bertukar pandangan.

 

Selain konsert, Liza juga mengakui untuk 2019 dia sebenarnya punya perancangan untuk melancarkan single terbaru bagi mengubat kerinduan peminat yang sentiasa menantikan buah tangan terbaru daripadanya.

“Kali terakhir saya melancarkan single ialah pada tahun 2018, di mana lagu berjudul ‘Mimpi’ itu layak ke pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ke-33. Selepas lagu itu mendapat maklum balas yang baik, saya dan pihak pengurusan berhasrat untuk melancarkan single terbaru tahun ini. Namun, kita semua hanya mampu merancang, tetapi hanya Allah yang menentukan. Tanpa disangka-sangka saya disahkan hamil tahun lalu dan proses pembikinan single ini terpaksa ditangguhkan.

Kalau ikut perancangan asal, single terbaru saya perlu diperkenalkan pada September lalu. Tetapi apakan daya, saya perlu mendahulukan perkara yang sepatutnya. Projek single terbaru ini terpaksa dibawa ke tahun hadapan. Lebih-lebih lagi saya belum menjumpai lagu yang tepat.  Ini kerana sasaran saya sekarang ini bukan hanya untuk memuaskan hati peminat-peminat sedia ada, tetapi saya juga mahu menambat hati generasi baru. Jadi, saya kena cari formula yang tepat,” ujar Liza yang turut mensasarkan showcase pada tahun 2020 bagi meraikan ulangtahun ke-24 bergelar penyanyi.

 

Tiada penyesalan

Berbicara tentang ‘kehilangannya’ suatu ketika dahulu, Liza memberitahu tindakannya mengundurkan diri dari dunia seni tanahair bukan dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Sebaliknya keputusan itu dibuat setelah hatinya tersentuh dengan situasi yang sedang dihadapi oleh anak sulungnya, Marsya Qistina yang kini telah berusia 16 tahun.

“Tidak dinafikan, ketika saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri buat sementara waktu dari bidang nyanyian, saya sedang meraih populariti. Namun, saya tekadkan hati kerana saya tidak mahu anak sulung saya, Marsya terabai.

Waktu itu saya bukan sahaja sibuk dengan nyanyian, tetapi saya juga sibuk dengan urusan perniagaan. Saya selalu balik lewat malam. Jadi Marsya selalu kena tinggal di rumah. Walaupun dia ada nenek dan orang gaji untuk menjaganya, tetapi saya tahu ia tak sama dengan perhatian daripada seorang ibu. Saya percaya, akan sampai masanya saya boleh fokus kepada kerjaya nyanyian,” ujar Liza yang membuat kemunculan semula apabila menyertai program realiti, Gegar Vaganza 4 (GV4).

 

Setelah Liza bersedia untuk all out dengan kemunculan semula, sekali lagi pelantun lagu ‘Getaran Cinta Dijiwa’ ini diuji dengan hal peribadi. Kali ini ayahnya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4 sehingga dijemput Ilahi. Jelas Liza, biarpun tidak mudah dia menghadapi kenyataan, dia reda  dengan ujianNya.

“Macam yang saya katakan tadi, kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan. Siapa sangka, selepas saya buat kemunculan semula dan bersedia dengan jadual kerja yang padat, saya disahkan hamil anak kelima. Selepas habis berpantang, ayah saya pula disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Jadi mahu tidak mahu, saya perlu melupakan kegiatan seni saya buat sementara waktu sekali lagi. Biarpun nampak seperti banyak halangan untuk saya kembali menyanyi, tetapi saya tidak pernah menyesal dengan keputusan itu.

Kehilangan ayah adalah satu peristiwa yang cukup pilu dan sukar untuk saya sekeluarga. Ini kerana saya sangat rapat dengan arwah. Apa yang berlaku membuatkan saya sedar betapa pentingnya ikatan kekeluargaan. Ia juga telah mengubah harapan saya terhadap anak-anak. Sekarang saya tidak lagi berharap mereka kaya raya, boleh berikan wang ringgit atau harta, tetapi saya mahu anak-anak saya nanti boleh menjaga saya dan suami apabila kami memerlukan perhatian mereka,” ujar Liza yang tidak pernah menghalang jika anak-anaknya mahu menceburi bidang seni.

Sebelum mengakhiri perbualan, isteri kepada salah seorang anggota kumpulan Indigo, Shah ini sempat berkongsi tentang misi dan visinya dalam masa 10 tahun akan datang.

“Kalau boleh dalam masa 10 tahun akan datang kerjaya nyanyian saya sudah mempunyai pencapaian yang lebih membanggakan. Saya harap pada ketika itu saya masih aktif menyanyi dan mampu mengadakan konsert jelajah di seluruh negara, dan juga di Singapura. Selain itu, saya juga berangan-angan untuk adakan konsert di kota-kota di luar negara yang ada rakyat Malaysia seperti di Perth dan London.”

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Liza Hanim
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu) : Rahayu Mat Nah
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam
  • Penata Gaya & Penata Gaya Hijab : N. Azwa
  • Konsep & Arahan Seni : N. Azwa
  • Jurusolek : Bobo Cinta, menggunakan Lancome & MAC
  • Busana :
  • Gaya pertama:
  • ‘Dress’: Syuhada Masrani
  • Baju ‘turtleneck’: Milik Penata Gaya
  • Skaf: CintaZara Scarves
  • Gaya kedua:
  • Baju: StyleAnnexe
  • Skaf: Milik Penata Gaya

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!