Lobak merah atau karot, khasiat yang pelbagai

Makanan Sihat 28 Feb 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Lobak merah atau karot, khasiat yang pelbagai
Lobak merah atau karot, khasiat yang pelbagai © Monika Adamczyk | Dreamstime.com

Kita sering mendengar nasihat sekiranya mahu mata yang sihat, makanlah Karot atau Lobak Merah selalu.  Ia seolah-olah karot cuma sayuran untuk kesihatan mata sedangkan khasiatnya lebih daripada itu.

Cuma kita sahaja yang tidak tahu. Lobak Merah atau nama saintifiknya Daucus Carota adalah sejenis sayuran akar daripada keluarga ubi yang rangup dan berwarna oren.

Lobak Merah atau Karot, khasiat yang pelbagai

Ia datang dengan dua pilihan warna iaitu oren dan putih iaitu warna biasa yang terdapat dalam pasaran di negara kita.  Lobak merah adalah bahan penting dalam membuat coleslaw, salad dan wrap.  Ia juga digunakan dalam pembuatan pastri seperti kek dan muffin serta dijadikan sebagai jus yang berkhasiat.

Kelebihan lobak merah banyak dan ia baik untuk diet pemakanan harian anda.  Ia mengandungi vitamin A dan B.  Nutrien ini boleh membantu mengekalkan tahap penglihatan mata kita di tahap yang baik.

Anda mudah rabun malam sekiranya tidak cukup vitamin A.  Masalah degenerasi makular dan perkembangan katarak boleh diatasi dengan mengambil lobak merah.  Ia kerana bahan dalam karot iaitu beta karotena boleh melindungi mata.

Khasiat lobak merah juga berperanan melindungi kulit daripada sinaran matahari.  Vitamin A dan antioksidan mencegah jerawat, kulit kering serta kedutan awal dan menjadikan kulit tampak lebih cerah dan sihat.

Diet karotenoid yang terdapat dalam lobak merah berperanan sebagai anti kanser dan elok dimasukkan dalam pemakanan sihat pesakit kanser. Kandungan antioksidan dapat membantu mengurangkan radikal bebas dalam badan.  Kajian mendapati kemungkinan wujud perkaitan di antara diet tinggi karotenoid dengan risiko kanser prostat yang lebih rendah.

Bagi wanita atau lelaki yang berhasrat mengurangkan berat badan, lobak merah adalah caranya. Kandungan enzim yang terdapat dalam karot ini membantu melancarkan pencernaan dan menghalang pengumpulan lemak dalam badan.  Begitu juga kandungan seratnya membuatkan anda cepat kenyang untuk tempoh yang panjang.

Perokok tegar yang sukar berhenti merokok boleh mengamalkan memakan karot.  Minyak atrisi, rafanol dan rafarin yang terdapat dalam lobat boleh meneutralkan racun rokok.  Sekiranya dibuat jus, ia membantu mengurangkan rasa sesak akibat terlalu banyak merokok.

Banyakkan sayuran akar dalam hidangan anda

Selain itu, pengambilan lobak merah juga boleh menjaga aspek penjagaan gigi.  Daucus Carota berperanan sebagai penghakis semula jadi yang boleh menyingkirkan kotoran yang terlekat pada gigi dan gusi.  Kandungan mineral di dalam karot juga membantu membunuh kuman dalam mulut.

Lobak merah juga membantu mengurangkan kandungan gula dalam badan, menguatkan sistem pertahanan badan serta mengurangkan kadar kolesterol dan banyak lagi. Pengambilan secara berlebihan boleh menjadi toksik kepada badan yang akan menyebabkan warna oren pada warna kulit tetapi tidaklah sehingga memudaratkan kesihatan.

Mungkin ramai yang menjangka sayuran akar yang tidak bermasak lebih banyak khasiat daripada yang telah bermasak.  Walau bagaimanapun beberapa sayuran jika dimasak boleh meningkatkan lagi nutrien dalam makanan tersebut.  Lobak merah salah satunya.

Bagi memaksimakan jumlah karotena daripada lobak merah atau karot, anda dinasihatkan supaya tidak mengupas kulitnya.  Ia membantu mengekalkan sehingga 13 peratus lebih beta karotena.

Cara memasak yang paling baik ialah dengan kuantiti air yang sedikit dan cara memanggang. Selepas anda mengetahui khasiat lobak merah, banyakkan sayuran akar ini dalam hidangan anda.

Mulakan pengambilannya untuk kesihatan yang lebih baik dalam jangka masa panjang.  Pelbagaikan hidangan menu supaya semua ahli keluarga boleh memakannya, atau meminum jusnya dengan gembira.

Kesihatan adalah ibadah.  Hargai sayuran-sayuran kurniaan Allah SWT.  Sesungguhnya setiap tumbuhan di muka bumi ini mengandungi khasiat yang tidak terhitung.