Lokasi makanan halal dan menarik di Bangkok

Singgah Chan Abdullah 27-Jun-2020
Samat Muslim Food © facebook.com/Samat-Muslim-Food-1858689237778984/

Kota Bangkok merupakan salah satu destinasi pelancongan tumpuan di Asia Tenggara. Apabila sebut tentang destinasi pelancongan, tidak lengkap jika tidak disertakan bersama dengan makanan menarik yang terdapat di lokasi tersebut.

Bagi anda yang bercadang untuk bercuti ke Bangkok mungkin tidak lama lagi, disenaraikan di sini beberapa lokasi makanan halal dan menarik untuk anda cuba.

Samat Muslim Food

Pasti tidak lengkap perjalanan ke Bangkok, Thailand jika tidak mencuba sendiri keenakan dan keaslian tom yam Siam yang sebenar-benarnya. Selain itu, antara menu popular yang terdapat di restoran ini ialah ikan siakap goreng, ikan siakap masak kukus dan juga salad betik. Samat Muslim Food terletak di 419 Ratchaprarop Rd, Khwaeng Makkasan, Khet Ratchathewi, Krung Thep Maha Nakhon 10400, Thailand. Ianya terletak di seberang Pasar Pratunam dan hanya mengambil masa tiga minit berjalan kaki dari Stesen Ratchaprarop ARL.

Restoran Home Cuisine

Menariknya, restoran ini menyajikan masakan India dan Thai. Menu popular di restoran ini yang wajib dicuba ialah nasi beriyani kambing. Nasi beriyani ini dihidangkan bersama sos tradisional Thai. Selain itu antara menu lain yang menarik ialah samosa, kari hijau Thai dan masala ayam. Restoran Home Cuisine boleh dikunjungi di lokasi 186 Charoen Krung 36, Bangrak District, Bangkok 10500, Thailand.

Petchaburi Road Soi 7

Bagi anda yang sukakan sedikit cabaran dan kelainan, anda bolehlah mencuba menu-menu halal yang terdapat di berbagai restoran di jalan ini. Bukan sekadar lambakan pilihan makanan halal Thai, malah anda juga boleh memilih untuk menikmati masakan India dan Arab di sini. Di jalan Petchaburi Road Soi 7 ini juga terletaknya Masjid Darul Aman. Lokasi ini terletak di Timur Kota Bangkok.

Restoran Usman Thai

Terletak di Sukhumvit Soi 22 (bersebelahan dengan Imperial Queen’s Park Hotel), Bangkok, Thailand. Jangan lepaskan peluang untuk mencuba menu kari kepiting dan pulut mangga di restoran ini. Ianya terletak berhampiran dengan pusat membeli belah Sukhumvit.

Banyak restoran makanan halal yang terdapat di kota Bangkok, Thailand. Tidak perlu membawa banyak bekalan makanan jika anda merancang bercuti ke Bangkok kerana khuatir sukar mendapatkan makanan halal. Jangan ragu-ragu untuk menikmati sajian halal di Bangkok apabila ada rezeki anda melancong ke sana.