Lokasi Penginapan Unik Di New Zealand

SONY DSC

New Zealand, yang sememangnya terkenal dengan keunikan hospitaliti atau manaakitanga, memiliki reputasi sebagai tuan rumah yang paling ramah dan mesra di dunia.

Tidak kira walau dari mana pun anda berasal, pasti anda akan disambut dengan cara yang luar biasa sebaik tiba di bumi kiwi itu.

Antara salah satu tarikan yang terdapat di New Zealand tidak lain dan tidak bukan adalah tempat penginapannya yang unik.

Bagi para pelancong yang gemar mendekati alam semula jadi, mereka boleh memilih untuk menginap di ladang zaitun di Sungai Waiohine atau kotej mewah di ladang Alpaka.

Manakala bagi mereka yang ingin mengenali budaya tempatan pula boleh memilih kediaman penulis terkemuka, Jane Tolerton.

Berikut kami senaraikan antara lokasi penginapan unik yang wajib disinggah bagi mereka yang ingin merasa pengalaman dan mengenali budaya penduduk New Zealand.

 

B&B Booklovers Khas Buat Pencinta Buku

Wartawan dan penulis terkenal, Jane Tolerton merupakan tuan rumah ‘Bed & Breakfast’, Booklovers B&B di Wellington.

Jane Tolerton telah menerima gelaran ‘B&B Lady’ dalam repertoirnya sejak tahun 1999, serta pernah menerbitkan beberapa buku seperti Covent Girls dan Sixties Chicks.

Terletak di bandar Wellington, kediaman beliau telah menjadi perhatian para pengunjung yang ingin berbual-bual dengan penulis terkemuka itu sambil menikmati sarapan pagi yang dimasak oleh beliau sendiri.

Selain itu, para pelancong juga boleh mengunjungi Muzium Te Papa dan Teater Circa, atau merasai pengalaman berjalan-jalan di laluan Lord of the Rings yang terletak di sebelahnya.

Ia pastinya satu pengalaman yang berbaloi.

 

Tinggal Bersama ‘Alpaka’ Di Penginapan Ladang Alpaka Silverstream 

Pengembara yang gemar menikmati keindahan alam semula jadi pasti akan menemui apa yang mereka cari di Penginapan Ladang Alapaka Silverstream di Utara Canterbury.

Ia merupakan tempat persinggahan yang ideal buat mereka yang mahukan sebuah penginapan unik.

Antara tarikan di Ladang Alpaka Silverstream adalah haiwan alpaka yang dipelihara oleh Kit dan Cheryl, pemilik penginapan tersebut. Mereka memiliki 200 ekor alpaka yang berkeliaran di ladang itu. Jadi, ia merupakan peluang terbaik untuk anda cuba mendekati haiwan yang sukar ditemui itu.

Selain itu, ladang tersebut juga terkenal dengan penginapan ladang mewah yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden.

Terletak 10 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch dan 30 minit dari Daerah Pusat Perniagaan, Penginapan Ladang Alpaka Silverstream adalah pilihan tepat bagi mereka yang mahu menerokai bandar.

 

Rumah Penginapan Di Wairarapa

Terletak bersebelahan dengan Sungai Waiohine, Rumah Penginapan di Wairarapa memberi ketenangan daripada keriuhan bandar Greytown dan Carterton yang berdekatan.

Lokasinya yang strategik menjadi pilihan mereka yang gemar membeli-belah dan menikmati makanan tempatan.

Bukan itu sahaja, tuan rumah turut menyajikan sarapan kontinental setiap pagi untuk para tetamu dan menyediakan basikal bagi mereka yang ingin menerokai keunikan tempat ini. Lamannya yang besar juga amat sesuai untuk aktiviti-aktiviti seperti kriket atau bola sepak.

Kenali Alam Semula Jadi Di Pondok Abel Tasman

Pondok Abel Tasman terletak berdekatan dengan Taman Negara Abel Tasman. Ia mempunyai pelbagai chalet persendirian yang luas serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sebuah rumah.

Ini menjadikannya pilihan penginapan yang tepat untuk pelancong yang menginginkan percutian bertemakan alam semula jadi.

Abel Tasman menawarkan pelbagai jenis aktiviti seperti kayak, lawatan eko, menunggang kuda serta menerokai air terjun. Aktiviti-aktiviti ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Manakala bandar yang berdekatan, Mapua dan Moutere juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami budaya masyarakat tempatan di pelbagai restoran dan kedai.

Hospitaliti yang tiada tandingannya, pemilik rumah tersebut, Jocelyn dan Scott Hendry sentiasa bersedia untuk menjawab sebarang pertanyaan atau menerima cadangan tambahan daripada pengunjung.

Maka tidak hairanlah penginapan itu telah menjadi pilihan nombor satu di New Zealand bagi kategori ‘Small Hotel’ oleh TripAdvisor.

Foto: Tourism New Zealand

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Bagi para pelancong yang suka mendekati alam semula jadi, mereka boleh memilih untuk menginap di ladang zaitun di Sungai Waiohine atau kotej mewah di ladang Alpaka. Bagi mereka yang ingin mengenali budaya tempatan pula boleh memilih kediaman penulis terkemuka, Jane Tolerton.