Lombok Hab Terbaharu AirAsia di Indonesia

Dalam usaha untuk merancakkan kembali sektor pelancongan di Lombok yang terkesan akibat siri kejadian gempa bumi sebelum ini, AirAsia melancarkan hab terbaharunya di Pulau Lombok, Daerah Nusa Tenggara Barat Indonesia.

Ia sekali gus menjadikan Lombok sebagai hab kelima bagi syarikat penerbangan tambang rendah serantau itu di Indonesia selepas Jakarta, Surabaya, Medan dan Bali.

Langkah tersebut juga adalah sebahagian daripada sokongan kepada usaha kerajaan Indonesia dan Kementerian Pelancongannya untuk membangunkan Lombok sebagai salah satu daripada ‘10 Bali Baharu’.

“AirAsia telah membuat pilihan yang tepat dengan menjadikan Lombok sebagai habnya, kerana Mandalika telah dipilih sebagai salah satu daripada ‘10 Bali Baharu.’

“Dengan keindahan alam semula jadi dan kaya dengan warisan budaya, jumlah pelancong antarabangsa ke Lombok kini meningkat dengan lebih pesat, dan kami amat menghargai kerjasama AirAsia dalam membantu mengembangkan sektor pelancongan Indonesia,” ujar Menteri Pelancongan Indonesia, Arief Yahya.

Bersempena dengan pelancaran hab Lombok itu, AirAsia turut memperkenalkan rekaan luar pesawat khas bagi menyokong promosi pelancongan di wilayah tersebut.

Ia memaparkan tarikan pelancongan popular tempatan seperti Gunung Rinjani dan keindahan dasar lautan di kepulauan Gili yang terletak di tenggara Lombok.

“Terima kasih AirAsia, kerana menjadikan Lombok sebuah hab dan kerana menyokong kempen ‘Wonderful Indonesia’ dengan rekaan pesawat khas ini.

“Dalam usaha membangunkan sebuah destinasi pelancongan, saya selalu menggunakan formula ‘Tarikan, Akses dan Kemudahan.’ Dan ternyata formula ini selari dengan usaha AirAsia, terutama sekali ‘Akses’,” tambah Arief.

Menyokong kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan mengulas, pengumuman itu bukan sahaja mengembangkan jaringan hubungan domestik dan antarabangsa, malahan membuka peluang pekerjaan tempatan, merangsang pertumbuhan sektor pelancongan serta menyumbang kepada kepentingan ekonomi pengunjung untuk Lombok.

“AirAsia juga akan melancarkan beberapa inisiatif kelestarian tambahan selain usaha bantuan bencana oleh Yayasan AirAsia, yang turut bekerjasama dengan Yayasan Arkom Indonesia.

“Ia adalah untuk membina tempat perlindungan sementara dan kawasan kediaman di pulau itu susulan siri gempa bumi pada tahun 2018,” jelasnya.

Menurut data daripada Kementerian Pelancongan Indonesia, AirAsia kekal sebagai penyumbang terbesar dalam membawa pelancong antarabangsa ke negara itu, iaitu kira-kira 3.2 juta kedatangan pelancong asing atau 25 peratus daripada semua pelancong antarabangsa ke Indonesia pada tahun lepas.

“Dengan adanya dua pesawat yang berpangkalan di Lombok, pengumuman ini mengukuhkan lagi komitmen AirAsia dalam menyokong sektor pelancongan Indonesia, dan membantu membangunkan Lombok untuk menjadi salah satu daripada ‘10 Bali Baharu’.

“Kami juga berharap untuk menggalakkan kedatangan lebih ramai pelancong dengan slogan ‘I Love Lombok’ ke hab baharu kami ini,” ujar Dendy.

Sejak memulakan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Lombok pada tahun 2012, AirAsia telah menerbangkan lebih daripada sejuta pelancong antarabangsa ke pulau tersebut.

Foto: Aaron Thomas & Christoffer Engstrom daripada Unsplash dan AirAsia