‘Lontong darat’ tular, Sultan Johor turun santap

Selera Syed Safri 29-Jan-2020
Mersing, Johor
Mersing, Johor © Albertlse | Dreamstime.com

‘Lontong Kering’ adalah hidangan yang cukup popular di kalangan masyarakat Melayu di Johor. Inilah pilihan penduduk tempatan sebagai hidangan pagi sebelum memulakan aktiviti harian mereka. Selalunya, lontong dikenali sebagai hidangan yang dimakan dengan lauk masak lodeh. Sebaliknya di Johor, ia di makan tanpa kuah dengan hidangan sampingan seperti rendang ayam dan daging, serunding  dan sayur-sayuran seperti kacang panjang, tahu dan tempe.

Kerana itulah pemilik kedai restoran Cik Tik Corner di Simpang Tiga, Kampung Sri Pantai, Mersing, Suria Hassan, telah mengkomersialkan lontong ini sebagai ‘lontong darat’ sejak dua tahun lepas. Usaha ini telah berjaya dan hasilnya, beliau sentiasa sibuk menerima kunjungan pelawat setelah berita lontong darat tular di media sosial. Beliau juga bernasib baik kerana turut menerima kunjungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memilih rendang daging dan roti canai, dimakan dengan lontong darat.

Suria, 31, dan berasal dari Pasir Gudang berkata, pelbagai menu dipasangkan dengan nasi impit, sambal kacang dan sayur jawa seperti serunding, rendang dan sambal paru. Sudah tentu, ini memberikan kelainan kepada para pelanggan, terutamanya dari luar Johor. Beliau menyambung perniagaan yang telah diusahakan semenjak 20 tahun lalu oleh ibu dan almarhum ayah mentuanya, iaitu Salmah Ahmad dan Abdul Rahman Sharol.

Suria yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu, giat mempromosikan restorannya, Cik Tik Corner melalui platform media sosial seperti Facebook. Restoren itu juga membuat perkhidmatan penghantaran di sekitar Mersing. Paling unik, setiap Khamis, restorannya menawarkan sarapan percuma kepada wanita hamil. Dan bagi pelanggan yang menyambut hari jadi, mereka hanya perlu menunjukkan kad pengenalan dan akan diberi makan secara percuma.

Oleh kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan, Suria merancang membuka cawangan di tempat lain. Beliau berharap akan mendapat bantuan kewangan ataupun peralatan restoran dalam mengembangkan perniagaannya dan sekaligus menarik lebih ramai pengunjung ke Mersing, terutamanya sempena Tahun Melawat Malaysia/Tahun Melawat Johor 2020. Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, restorannya turut menyajikan pelbagai menu seperti roti canai, nasi lemak, nasi goreng, soto, mi dan kuih-muih.