Luangkan masa berkualiti bersama anak-anak

Keluarga Hannan
Terkini oleh Hannan
Luangkan masa berkualiti bersama anak-anak
Luangkan masa berkualiti bersama anak-anak © Szefei | Dreamstime.com

Pada zaman ini, bukan mudah untuk ibu bapa membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Ketika kedua-dua ibu dan bapa bekerja lapan jam sehari, mungkin ramai yang rasa mereka dapat meluangkan masa berkualiti yang cukup bersama anak-anak.

Sebenarnya, masalah ini bukanlah sesuatu yang asing di dalam fikiran ibu bapa. Malah, mungkin ramai yang berharap mereka punyai masa yang lebih panjang setiap hari supaya mereka boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta.

Masa berkualiti bersama anak amat penting untuk tumbesaran mereka. Menurut ramai pakar terapi keluarga dan pakar pengurusan hubungan, jumlah masa yang dihabiskan bersama keluarga dan anak tidak penting. Apa yang penting ialah kualiti masa tersebut.

Mengapa perlu luangkan masa berkualiti bersama anak?

Perkataan ‘masa berkualiti’ merupakan satu perkataan yang tidak asing lagi di dalam hidup kita. Walau bagaimanapun, apabila bercakap mengenai hal ini, ramai yang memberikan fokus kepada ‘masa’ dan bukannya ‘kualiti’.

Sebenarnya, apakah maksud masa berkualiti dan kepentingannya? Kadangkala, duduk bersama anak sahaja tidak cukup. Ibu bapa perlu berusaha untuk melakukan aktiviti tertentu bersama mereka, barulah aktiviti tersebut dikira berkualiti!

Di bawah, kami huraikan lebih lanjut mengenai kepentingan masa berkualiti antara ibu bapa dan anak-anak:

1. Masa berkualiti bantu membina ikatan yang lebih erat

Ibu bapa boleh membina ikatan perhubungan yang lebih erat dengan anak-anak jika mereka selalu meluangkan masa berkualiti bersama.

Dengan cara ini, anak-anak akan rasa lebih selamat dan disayangi. Mereka juga tahu bahawa kedua ibu bapa mereka amat mengasihi mereka. Malah, anak-anak juga mungkin memandang anda sebagai idola atau suri teladan (role model).

Dengan tercetusnya rasa kasih dan hormat terhadap ibu bapa, anak akan kurang berisiko untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat pada masa hadapan.

2. Lebih banyak mendengar dan bercakap dengan anak

Komunikasi antara ibu bapa dan anak merupakan kunci hubungan yang sihat. Walaupun mereka masih kanak-kanak, itu tidak bermaksud mereka tidak perlu didengari!

Jika anak anda ingin bercerita, atau melakukan protes, cuba dengar apa yang si kecil ingin katakan.

Seperti bercakap, mendengar juga mempunyai tekniknya yang tersendiri. Elakkan mendengar untuk membalas. Sebaliknya, cuba dengar luahan hati anak dengan hati yang terbuka.

3. Tunjukkan rasa sayang kepada anak

Sebagai ibu bapa, anda tidak seharusnya rasa malu untuk menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak.

Menurut kajian, remaja yang sering dipuji dan dipeluk oleh ibu bapa masing-masing mempunyai prestasi yang lebih memberangsangkan di sekolah. Malah, mereka juga tidak akan terjebak dengan aktiviti yang tidak berfaedah kerana takut akan menghampakan orang tua mereka.

Gunakan masa lapang anda untuk mengeratkan hubungan bersama anak. Jika anak mempunyai sebarang minat, cuba libatkan diri dengan minat tersebut. Ahli keluarga yang banyak menghabiskan masa bersama selalunya mempunyai hubungan yang lebih akrab.

4. Ajar anak semasa menghabiskan masa berkualiti dengan mereka

Jika bukan anda yang mengajar mereka di rumah, besar kemungkinan anak anda akan belajar mengenainya di tempat lain.

Oleh sebab itu, sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab anda untuk mengajar anda tentang perkara-perkara yang penting di dalam kehidupan.

Anak-anak belajar dengan mencontohi kita sebagai ibu bapa. Jika anda kerap meluangkan masa bersama mereka, besar kemungkinan mereka akan menjadikan tingkah laku positif ini sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka pada masa hadapan.