‘M For Malaysia’ Ke Pentas Academy Award ke-92

Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari mengenai pergolakan politik sesebuah negara, pilihan raya umum serta pertukaran tampuk pemerintahan dan parti politik yang menjadi kerajaan.

Semua itu memerlukan kajian lapangan yang sebenar dan tepat pada waktunya beserta keberanian dan semangat jitu yang tinggi untuk membongkarkan segala fakta, permasalahan atau kebenaran yang sukar untuk ditelan.

Kesemua itu perlu dilalui oleh pasukan produksi filem dokumentari M For Malaysia, dalam menghasilkan projek dokumentari tersebut serta menayangkannya kepada umum.

Namun, ternyata semua penat lelah itu berbaloi apabila dokumentari tersebut mencipta sejarahnya tersendiri selepas terpilih untuk mewakili Malaysia ke anugerah Academy Award ke-92 bagi kategori International Feature Film Award.

Diterbitkan oleh Project M Media dan bahagian pemasaran dan pengedaran dijalankan oleh Astro Shaw, kejayaan itu bukan sahaja membanggakan, malah ia menjadi satu anjakan paradigma buat industri filem tanah air.

Dokumentari tentang pembentukan Malaysia baharu ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang telah ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 10 September lalu itu mendapat sambutan yang positif.

Rata-rata penonton memberi respon tertarik dengan perjalanan dan semangat perjuangan yang diketuai oleh seorang lelaki berusia 93 tahun yang kini bergelar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagi Pengarah dan Penerbit M For Malaysia, Dian Lee, pihaknya berbangga kerana hasil kerja bakat-bakat tempatan diangkat ke tahap antarabangsa.

“Sememangnya kami tidak pernah menjangkakan bahawa usaha dalam menghasilkan dokumentari ini mampu pergi sejauh itu. Kejayaan ini juga tidak akan sempurna tanpa kerjasama dengan Astro Shaw,” ujarnya.

Manakala Pengarah dan Penerbit Bersama, Ineza Roussille pula melahirkan rasa gembiranya dan menganggap ia merupakan satu pengalaman yang hebat.

“Saya rasa berbesar hati kerana M For Malaysia akan mewakili Malaysia. Saya harap kejayaan ini akan memberi lebih banyak ruang buat dokumentari tempatan untuk terus berkembang merentasi sempadannya,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad pula berkata, kejayaan bermakna itu membuktikan naskhah tempatan mampu berada di persada dunia, sekali gus meletakkan industri filem Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Bagi kami, ini membuka pintu untuk naskhah tempatan diketengahkan dan lebih dikenali oleh orang di luar sana,” ujarnya.

M For Malaysia berkisarkan tentang peristiwa-peristiwa yang menjadi titik tolak yang mengubah negara ini pada PRU 14, di mana ia menyaksikan rakyat Malaysia memilih untuk tidak lagi bersama kerajaan yang telah memerintah selama 61 tahun.

Meskipun dihimpit dengan pelbagai cabaran, akhirnya sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya parti kerajaan ditumbangkan dengan kuasa demokrasi dan pilihan di tangan rakyat.

Apa yang lebih bermakna adalah apabila seorang bekas Perdana Menteri yang pada ketika itu berusia 92 tahun kembali bertugas untuk mengetuai pemerintahan negara bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara.

M For Malaysia sebelum ini turut menerima sambutan yang menggalakkan di pelbagai lokasi antarabangsa selepas tayangan perdananya di CAAMFest di San Francisco, Amerika Syarikat; DocEdge, New Zealand dan festival filem terbesar di Asia iaitu Festival Filem Antarabangsa Busan iaitu pada Oktober ini.

 

Foto: Astro Shaw & laman web M For Malaysia