M.Nasir Rai 40 Tahun Perjalanan Karier Dalam Konsert Istimewa

Merupakan seorang penyanyi versatil, penulis lagu dengan karya-karya hebat, pelakon dan juga pengarah, insan seni serba boleh, Datuk M. Nasir pasti membuatkan para peminatnya tidak lena malam apabila bakal muncul dengan konsert penghargaannya tidak lama lagi.

Konsert yang dinamakan ‘KONSERT M. NASIR SATU HIKAYAT – 40 TAHUN PERJALANAN’ itu adalah bersempena bagi meraikan ulang tahun ke-40 keberadaannya dalam industri seni tanah air.

Dengan kerjayanya selama 40 tahun ini, seniman yang turut digelar sebagai ‘Sifu M.Nasir’ itu bakal muncul secara lebih peribadi dalam konsert tersebut bagi merapati semua peminatnya di Malaysia dan serantau.

Ia juga sebagai cara untuk menghargai sokongan kuat daripada para peminat setianya.

 

 

Konsert berdurasi dua jam setengah itu ternyata tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana peminat tegar M.Nasir kerana beliau akan mempamerkan repertoir daripada album pertamanya sehinggalah lagu terkini.

Antara barisan lagu-lagu hits yang akan dipersembahkan adalah seperti ‘Tanya Sama Itu Hud Hud’, ‘Mentera Semerah Padi’, ‘Apokalips’ , ‘Keroncong Untuk Ana’ dan banyak lagi.

Selain itu, KONSERT M. NASIR SATU HIKAYAT – 40 TAHUN PERJALANAN akan menjadi satu malam untuk diingati, di mana beliau akan diiringi oleh band lamanya “The Gong” yang akan menampilkan 14 pemuzik handalan.

Terdapat juga segmen kejutan yang akan dipersembahkan dalam konsert tersebut.

 

Dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn. Bhd., KONSERT M. NASIR SATU HIKAYAT – 40 TAHUN PERJALANAN bakal berlangsung pada 23 November 2019 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam.

Tiket berharga RM 860 (Meet & Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Emas) RM200 (Perak), RM160 (Gangsa).

Penjualan tiket konsert akan bermula dari 2 petang, 28hb Ogos 2019 di www.myticket.asia.

 

Foto: Shiraz Projects