Madrasah, universiti pertama zaman kegemilangan Islam

Dunia Hanita Hassan 14-Okt-2020
dreamstime_s_65478778
Pintu masuk Universiti Al-Qarawiyyin di Fes, Maghrib © Alvaro German Vilela | Dreamstime.com

‘Madrasah, universiti pertama zaman kegemilangan Islam’ akan melihat kepada bagaimana Islam menghargai ilmu pengetahuan dan menyokong perjuangan untuk mencapai ke puncaknya. Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan katakanlah: Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.”

(Surah Thaha, ayat 114)

Allah SWT turut berfirman dalam al-Quran:

“Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”

(Surah Az Zumar, ayat 9)

Oleh kerana itu, penyampaian ilmu pengetahuan daripada seorang guru kepada pelajarnya sejak awal Islam adalah sangat penting.

Penyebaran ilmu pengetahuan dan institusi pendidikan

Penyebaran ilmu pengetahuan melalui penubuhan sesebuah institusi pendidikan telah bermula di negara-negara Islam sejak beratus tahun dahulu. Ia berlaku sebelum institusi seperti ini muncul di Eropah.  Dari segi kekayaan dan tingginya ilmu pengetahuan, pencapaian negara-negara Islam jauh menjangkaui negara-negara di Eropah. Tidak hairanlah kenapa Eropah terpaksa berpaling ke Timur dalam usaha mencari rahsia sains.

Jika dibandingkan antara dunia kegemilangan Timur dengan Empayar Charlemagne di Barat, kelihatan hanyalah sebuah kerajaan yang tidak bertamadun yang memerlukan beberapa abad lagi sebelum mencapai tahap setara dengan institusi pendidikan Islam dan ilmiah. Zaman kemilau Islam di bawah pemerintahan Khalifah Abbasiyah (750-950 Masihi) digelar sebagai Zaman Keemasan Pendidikan Islam.

Nabi Muhammad SAW telah memulakan pengajaran dan pengajian ilmu-ilmu Islam semasa di Madinah. Masjid adalah institusi pertama yang menjadi institusi pendidikan Islam. Ia adalah universiti pertama dalam sejarah dan di gelar ‘Madrasa’.

Ketika itu, kira-kira 30 daripada 93 sahabat yang tidak mempunyai keluarga dan mata pencarian tinggal di bawah khemah di kawasan masjid ini. Mereka digelar ‘Ashab al sufa’ atau ‘Orang-orang di khemah’. Antara yang tinggal di khemah ini yang kemudiannya adalah perawi hadis terkenal iaitu Abu Huraira dan muazin pertama iaitu Bilal dan banyak lagi adalah pelajar pertama dalam sejarah.

Para pelajar menulis apa sahaja yang diperkatakan oleh Nabi Muhammad SAW dan menghafal ayat-ayat Quran dan Hadis, kemudian menyampaikan pula kepada mereka yang tidak hadir. Mereka mempelajari Ilmu asas tentang Islam sehingga mahir dan menyebarkan pula ke seluruh pelusuk dunia Arab ketika itu.

Beza madrasah abad pertengahan dengan universiti moden

Universiti tertua adalah Universiti Al-Qarawiyyin.  Ia diasaskan pada tahun 859 Masihi di sebuah kota bernama Fes (Maghribi) oleh seorang anak kepada usahawan kaya bernama Fatima al-Fihri.  Ia terdiri daripada beberapa fakulti (Kulliya) yang mengkhusus kepada beberapa bidang ilmu pengetahuan.

Namun, ada perbezaan di antara madrasah abad pertengahan dengan universiti moden. Di madrasah, semua mata pelajaran berkaitan dengan sains gunaan (astronomi, matematik dan sebagainya) adalah di bawah pengajian sains Islam (hadisologi, syariah dan feqah dan sebagainya).

Kemudian institusi pendidikan Barat menawarkan kajian  mendalami bidang sains. Institusi pendidikan Islam mula beralih dan memfokuskan hanya kepada ilmu-ilmu Islam (contohnya, Universiti moden Al-Qarawiyyin atau Al-Azhar).

Sebelum itu, Universiti Cordoba di Sepanyol telah ditubuhkan pada 786 Masihi. Universiti ini sangat terkenal sehingga ramai pelajar beragama Kristian yang datang untuk belajar di sini. Antaranya Paus Sylvester II adalah bekas pelajar Universiti Cordoba tahun 999 Masihi dan lulus pada tahun 1003 Masihi.

Universiti Cordoba adalah sebahagian daripada kompleks Masjid Katedral Cordoba dan dihapuskan pada tahun 1263 Masihi setelah masjid tersebut ditukar menjadi Katedral Kristian oleh Raja Castilian Ferdinand III.

Madrasah sebagai institusi ilmiah

Antara contoh lain adalah Madrasah Rab-e Rashidi di Tabriz, Iran. Ia adalah pusat sains, falsafah dan perubatan yang diasaskan oleh Ketua Menteri Khan Gazan (1295-1304) Rashidaddin Hamadani. Rashid al-Tabib (Doktor Rashid seperti yang dikenali ramai) menjadikan universiti ini sebagai tempat berkumpulnya para cerdik pandai dari dunia timur pada masa itu.

Para pemuda dari seluruh pelusok dunia Arab dan Parsi (Iran, Mesir, Syria) bahkan dari China beramai-ramai datang ke madrasah ini untuk mendapatkan pendidikan terbaik yang tidak dapat dibayangkan ketika itu. Kampus Rab-e Rashidi menyerupai kampus moden, ia memiliki kilang kertas sendiri, perpustakaan hospital (Dar al-Shafa), pusat al-Quran (Dar al-Quran), rumah kediaman untuk guru, asrama pelajar dan sebuah kantin yang luas.

Sayangnya, Madrasah Rab-e Rashidi tidak bertahan dan terkubur di zaman Shah Abbas (awal abad ke-17).  Ketika itu, madrasah adalah institusi ilmiah paling menonjol yang menjadi tanda aras tentang sains Islam kepada dunia.

Di mana-mana sahaja di sebelah Timur terdapat universiti, termasuklah di kota-kota besar dunia Arab, Parsi dan Turki yang menjadi contoh kepada Kristian Barat sekali gus membawa cahaya Islam dan sains kepada dunia. Perkembangan ini amat baik kepada kita kerana ia jelas terbukti bahawa cahaya Islam telah bersinar selamanya.