‘Mahal’ Single Terbaru Charis

Mungkin ramai yang mengenali wajahnya menerusi program Disney, ‘Club Mickey Mouse.’ Malah sebelum ini beliau pernah tampil dengan dua single berjudul ‘Supernova’ dan ‘Could This Be Love?’ . Namun itu belum cukup membuatkan Charis Ow berasa puas.

Baru-baru ini, beliau melancarkan single terbaharunya ‘Mahal’, single pertamanya sejak berada di bawah naungan WebTVAsia.

‘Mahal’ merupakan hasil kolaborasi tiga komposer yang juga bertindak selaku penulis lirik iaitu Omar K, John Jeeves, dan Ikhwan Fattana. Ia turut menampilkan bait rap daripada pendatang baru, LOCA B.

“Menerusi liriknya, saya mahu pendengar merasakan getaran aura yang positif. Ia boleh ditafsirkan daripada pelbagai perspektif, bukan hanya sebuah lagu cinta biasa. ‘Mahal’ bercerita tentan harga diri dan saya ingin membawakan mesej yang mengangkat semangat pendengar, terutamanya remaja,” kata Charis.

“Saya merasakan ‘Mahal’ muncul tepat pada masanya. Kita selalu mendengar cerita dan kes-kes berkaitan depresi dan kemurungan sejak kebelakangan ini. Walaupun saya sedar perkara itu sangat kompleks, tetapi saya berharap melalui muzik dan lirik yang baik, sedikit sebanyak akan memberi sumbangan kepada masyarakat,” tegasnya lagi.

Sebagai peminat tegar K-pop, Charis mengakui menyuntik semangat dan elemen pop yang kuat dari Korea Selatan untuk lagu-lagunya, termasuk ‘Mahal.’

Dia menjadikan Girls Generation, Blackpink, BTS dan Taeyeon sebagai sumber inspirasi, malah sama sekali tidak kisah jika persembahannya dibandingkan dengan bintang-bintang ternama itu.

“Saya meletakkan tanda aras yang tinggi untuk diri sendiri. Jika ada yang mengatakan saya meminjam imej K-pop, sejujurnya saya terima dengan hati yang terbuka. Saya kagum dengan kejayaan mereka kerana muzik mereka sangat ‘catchy’ dan universal,” jelas Charis.

‘Mahal’ sudah boleh didengari menerusi semua platform digital seperti Spotify, Joox, Apple Music dan KKBox. Klip videonya juga sudah boleh ditonton di YouTube.