Mahkluk-makhluk yang dijadikan tanpa ibu

Agama Abi Aasim 10-Jun-2020
Unta yang istimewa © Bennymarty | Dreamstime.com

Ketika pemerintahan Saidina Umar Al Khattab r.a., datang tiga orang pendeta berbangsa Yahudi menemui beliau dan bertanyakan beberapa soalan kepada Saidina Ummar. Antara soalan tersebut ialah apakah mahkluk yang dilahirkan di dunia tanpa ibu.

Saidina Umar r.a. telah mengarahkan Salman Al-Farisi r.a. untuk memanggil Saidina Ali r.a. bagi membantu menjawab soalan para pendeta Yahudi ini tadi. Saidina Ali yang kemudiannya tiba di kediaman Saidina Umar kemudiannya menerangkan bahawa makhluk-makhluk yang dilahirkan tanpa ibu ini telah diceritakan di dalam Al Quran.

Nabi Adam a.s. – Nabi Adam merupkan makhluk yang dijadikan tanpa ibu. Allah telah menjadikan Nabi Adam daripada pelbagai jenis tanah yang dibentukkan seperti manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hijr, ayat 28: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

Siti Hawa a.s. – Wanita pertama yang dijadikan Allah SWT. Beliau adalah isteri Nabi Adam a.s. Siti Hawa telah dijadikan daripada rusuk kiri Nabi Adam. Rasulullah SAW bersabda: “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang  paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita.”

Ular dari tongkat Nabi Musa a.s. – Salah satu mukjizat yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Musa ialah tongkatnya. Pada satu peristiwa, tongkat Nabi Musa bertukar menjadi seekor ukar yang besar dan berbisa, yang memakan kesemua ular-ular ahli sihir Firaun. Ular ini tercipta begitu sahaja tanpa adanya proses kelahiran, telur dan sebagainya dari ular yang lain.

Unta Nabi Salleh a.s. – Allah SWT telah mengutuskan Nabi Salleh untuk berdakwah kepada kaum Tsamud. Namun usaha dakwah Nabi Salleh sering diremehkan oleh kaumnya. Kaum Tsamud meminta Nabi Salleh menunjukkan mukjizatnya bagi membuktikan kenabiannya. Maka dengan izin Allah, terbelahlah batu di sisi sebuah bukit dan keluarlah seekor unta betina dari celah batu tersebut.

Qibas peristiwa korban Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Salleh a.s. – Hampir setiap tahun ketika Hari Raya Korban kita mendengar khutbah dan peringatan mengenai peristiwa korban oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Salleh. Nabi Ibrahim telah diperintahkan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Ketika Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya, dalam sekelip mata Nabi Ismail telah digantikan dengan qibas (sejenis kambing) oleh Malaikat Jibrail a.s. atas perintah Allah SWT. Aktiviti korban yang dilakukan umat Islam hari ini adalah bersempena dengan peristiwa ini.

Jawapan Saidina Ali r.a. ini meyakinkan sekalian pendeta Yahudi tadi tentang kebenaran agama Islam. Mereka ini akhirnya beriman kepada Allah SWT.