Main catur kurangkan nyanyuk? Dan empat lagi manfaat lain

Suka Md Wa'iz 08-Nov-2020
dreamstime_s_103498302
Main catur kurangkan nyanyuk? Dan empat lagi manfaat lain © Nataliia Sokolovska | Dreamstime.com

Anda gemar bermain catur? Ada berita baik untuk anda. Walaupun permainan catur bukanlah permainan yang melibatkan banyak pergerakan fizikal, manfaatnya terhadap otak sangatlah banyak.

Catur dipercayai berasal daripada permainan Chaturanga dari  zaman Empayar Gupta di India, mula dikenali pada sekitar abad ke-7. Di sini kami senaraikan lima kebaikan catur yang mungkin agak jarang didengari sebelum ini.

Lima kebaikan catur yang patut anda tahu

Memupuk sifat empati dalam diri anda

Apabila kita bermain catur, kita perlu mengagak apakah gerakan seterusnya yang akan dilakukan oleh lawan kita.

Untuk mengagak, kita perlu mempunyai kebolehan untuk berada dalam pemikiran atau perspektif lawan kita itu dan membuat penentuan mengenai gerakan yang akan dilakukan. Cara ini sebenarnya memupuk diri kita untuk lebih bersifat empati dan membina hubungan sosial yang sihat.

Para saintis yang mengkaji mengenai tingkah laku manusia menyebut kemampuan ini sebagai ‘Theory of mind’. Kajian ada menunjukkan bahawa kanak-kanak yang bermain catur turut mempunyai kebolehan ini.

Menjadikan anda lebih bijak

Mereka yang kerap atau mempunyai pengalaman yang luas dalam bermain catur sebenarnya amat bijak. Ini kerana mereka telah membangunkan kebolehan pemikiran mereka ke aras yang agak tinggi dalam dua aspek.

Aspek pemikiran tersebut ialah kecerdasan bendalir (fluid intelligence) dan juga kelajuan memproses (processing speed). Kecerdasan bendalir bermaksud kemampuan untuk menentukan jenis masalah baharu dan menggunakan penaakulan untuk menyelesaikannya.

Kelajuan memproses pula ialah kemampuan untuk memahami tugas dengan cepat dan bertindak balas terhadap cabaran dengan cekap.

Tingkatkan kreativiti seseorang

Ada satu kajian yang dijalankan di India terhadap dua kumpulan pelajar. Satu kumpulan dilatih bermain catur, manakala satu kumpulan lagi tidak dilatih dengan catur.

Kemudian, satu ujian dijalankan antara keduanya, dimana mereka diminta untuk menyatakan kegunaan lain bagi peralatan harian yang sering digunakan. Mereka juga diuji untuk menafsirkan sesuatu corak dan maksud bagi sesuatu perkara yang abstrak.

Kajian tersebut mendapati, kumpulan pelajar yang bermain catur mendapat markah ujian yang lebih tinggi berbanding kumpulan kedua. Ini jelas menunjukkan permainan catur menggalakkan kita untuk berfikir dengan lebih kreatif.

Catur bantu otak kita daripada mendapat masalah nyanyuk

Kajian juga menunjukkan bahawa permainan catur boleh membantu melindungi warga emas daripada menjadi cepat nyanyuk.

Para saintis mendapati, catur boleh membantu mengurangkan penurunan fungsi kognitif selain melambatkan kesan nyanyuk apabila kita semakin berusia.

Menaikkan tahap memori kita

Apabila anda perhatikan mereka yang sangat berpengalaman dalam bermain catur, kesemua mereka mempunyai ingatan atau memori yang kuat. Ini kerana, mereka banyak mengingati gabungan gerakan buah catur selain kesan daripada gerakan tersebut.

Selain itu, mereka yang bermain catur juga menunjukkan prestasi yang amat baik dalam apa yang disebut sebagai memori pendengaran.

Ia bermaksud, seseorang itu mempunyai kemampuan untuk mengingati sesuatu yang dipelajari hanya melalui pendengaran sahaja.

Juga bantu kawal simptom gangguan tertentu

Secara umumnya, dapat kita fahami bahawa catur boleh membantu anda menjadi seorang yang lebih bijak, bersifat empati, memiliki memori yang kuat dan meningkatkan kreativiti anda.

Malah, ada beberapa kajian yang menunjukkan peranannya dalam membantu mengurangkan simptom penyakit seperti nyanyuk, gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD) dan juga serangan panik.

Mungkin anda boleh mula untuk mempelajari permainan catur dan menjadikannya sebagai hobi masa lapang anda. Insya-Allah!